Monday, July 4, 2022

PBAKL: Pesta buku antarabangsa atau Melayu-Islam?

Persoalan timbul mengenai penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sepatutnya mencerminkan identiti Malaysia sebagai masyarakat berbilang budaya.

Other News

Jambori atau perhimpunan besar-besaran untuk penerbitan dan pencinta buku di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur baru sahaja melabuhkan tirainya pada Ahad selepas hampir dua minggu berlangsung.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), yang dilancarkan pada 1981, lebih 40 tahun lalu, dianjurkan setiap tahun oleh Kementerian Pendidikan bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan beberapa persatuan industri tempatan.

PBAKL kembali dianjurkan selepas dua tahun menyepi akibat penularan Covid-19 menyaksikan banyak penerbit bergelut dengan krisis kewangan akibat impak ekonomi.

Penganjurannya kali ini memberi ruang kepada penulis, pengarang, penerbit dan juga ilustrator untuk memperkenalkan karya-karya terkini mereka sebagai bahan bacaan kepada masyarakat hingga penganjuran tahun hadapan.

Tinjauan MalaysiaNow pada Sabtu mendapati judul-judul buku dengan genre Islamik dan kerohanian yang menguasai PBAKL dan tidak mempunyai imej Malaysia dan antarabangsa.

Judul-judul buku keagamaan ini bukan sahaja menyasarkan golongan dewasa bahkan juga naratif yang sama dikenalpasti dalam judul-judul buku kanak-kanak.

Perkataan seperti dakwah, tarbiah, neraka, syurga dan kiamat memenuhi kertas banting dan risalah promosi.

Ini tidak termasuk, pameran jualan buku-buku dengan judul teori konspirasi seperti “Freemason” dan “Illuminati” yang dilihat menjadi kegemaran remaja sekolah.

Kelihatan, hampir semua pelajar yang hadir dengan memakai t-shirt sekolah masing-masing membeli buku-buku tersebut sehingga barisan di kaunter panjang melebih dua meter.

Maka, tidak menghairankan, mengapa timbul sedikit kekecohan di media sosial oleh segelintir pihak yang mempersoalkan fungsi dan objektif sebenar penganjuran PBAKL.

Sehingga ada juga yang mencadangkan bahawa sudah tiba masanya penganjur mengubah nama PBAKL kepada “Pesta Buku Melayu Islam Kuala Lumpur” ataupun “Pesta Buku Islamik Kuala Lumpur” kerana lambakan jualan buku genre agama di pesta tersebut.

Pada masa sama, tinjauan juga mendapati sukar untuk melihat judul-judul buku dalam bahasa selain bahasa Melayu dijual dan dipamerkan di dalam petak reruai penerbit.

Buku dalam bahasa Mandarin dan Tamil boleh dikatakan tiada langsung dipamerkan, malah pengunjung yang berpusu-pusu memasuki dewan-dewan jualan tidak memberi bayangan kepada kepelbagaian kaum.

Selain itu, kurangnya buku-buku dalam bahasa Inggeris dijual.

Pada Ahad, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022, Mohd Khair Ngadiron memberitahu kira-kira 1.25 juta pengunjung menghadiri acara tersebut selama 10 hari penganjurannya.

Tahun ini, sebanyak 137 petak reruai untuk pempamer dan lebih 700 petak digunakan oleh para penerbit menjadikan ianya acara buku dan penerbitan terbesar dalam negara.

PBAKL harus bawa imej Malaysia

Trend lambakan buku genre agama ini mendapat perhatian di platform media sosial dengan ramai mempersoalkan sama ada objektif utama penganjurannya sebagai pesta buku antarabangsa dapat dicapai dengan hanya meletakkan bacaan sedemikian.

Ramai juga yang membalas dengan mengatakan ianya tiada masalah selagi bacaan-bacaan tersebut berguna dan memberi manfaat kepada pembaca.

Perkembangan ini menarik perhatian ramai pihak termasuk penulis-penulis buku yang merasakan jika trend ini berterusan, kemudian hari, bacaan-bacaan tersebut akan menjadi “makanan minda” masyarakat khususnya dalam generasi muda.

Seorang penulis baru, Nurhuda Ramli yang turut hadir pada pesta tersebut turut mengesan trend yang sama.

Nurhuda merupakan penulis bersama judul buku “Sanggah Pemula” terbitan Gerakbudaya yang bertapak di Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, PBAKL seharusnya menjadi milik rakyat Malaysia, dan bukan hanya menghidangkan buku-buku untuk orang Melayu semata-mata.

Atas sebab itu, menurutnya pengajur mesti mempunyai imaginasi yang besar tentang pesta buku dan ianya perlu inklusif dan diversiti.

Apabila tiada imaginasi tersebut, maka ketidakwujudan buku-buku bukan Melayu dalam penganjuran PBAKL.

“Walaupun ada banyak buku bermanfaat boleh didapati, tetapi jelas trend besar dalam PBAKL adalah buku agama yang kecenderungannya konservatif.

“Kita kena kritis memandang hal ini. Apa yang menyebabkan pasaran disuap dengan lambakan buku agama konservatif begini?

“Adakah memang ada permintaan dalam pasaran atau memang penulis-penulis ramai yang ada hanya berfikiran konservatif?” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, penganjuran pesta buku antarabangsa seperti PBAKL tidak asing lagi di negara-negara maju seperti United Kingdom, Jepun dan Kanada dan seperti di Malaysia, penganjuran pesta buku antarabangsa di negara-negara tersebut juga turut dinantikan rakyat mereka.

Menurut Nurhuda, sebagai contoh, Pesta Buku London memberi peluang kepada pencinta buku untuk membeli dan memiliki karya-karya sastera tempatan dari kaum minoriti, selain buku-buku progresif dan kritikal yang sukar didapati di kedai-kedai buku perdana.

Katanya penganjuran PBAKL seharusnya sama dan sepatutnya menjadi ruang dan medium yang meraikan semua karya-karya tempatan seperti sastera Malaysia dalam bahasa Mandarin, Tamil dan juga sastera dari negeri Sabah dan Sarawak.

Disebabkan itu, kata Nurhuda, jika bercakap tentang pentingnya penerbitan buku-buku progresif dan kritis, perlu ada penelitian terhadap pasaran terutamanya bilangan penulis-penulis yang ada.

“Jika jelas, memang penulisnya sedikit, maka sesuatu harus difikirkan secara serius untuk melahirkan pemikir-pemikir dan penulis-penulis yang progresif.

“Usaha ini memerlukan proses pemindahan kapasiti yang banyak, panjang dan tak boleh berhenti.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles