- Iklan -
Berita

AirAsia jamin akan selesaikan bayaran balik tiket penumpang

CEO Capital A Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu telah membuat bayaran balik kepada hampir semua pelanggan yang terjejas melalui akaun kredit.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Krew syarikat penerbangan Air Asia menjalankan tugas menyiapkan pesawat sebelum berlepas ke di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Syarikat itu kini berdepan tuntutan bayaran tunai daripada penumpangnya ekoran pembatalan penerbangan sepanjang pandemik.
Krew syarikat penerbangan Air Asia menjalankan tugas menyiapkan pesawat sebelum berlepas ke di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Syarikat itu kini berdepan tuntutan bayaran tunai daripada penumpangnya ekoran pembatalan penerbangan sepanjang pandemik.

AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL), cabang penerbangan Capital A menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan semua permintaan bayaran balik akibat pandemik, secepat mungkin.

Syarikat penerbangan di bawah AAAGL dalam kenyataan hari ini berkata, mereka telah menyelesaikan hampir 99% daripada permintaan penumpang berkenaan bayaran balik dan akan berusaha untuk menyelesaikan baki 0.8% dalam masa terdekat.

Syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh AirAsia X (AAX) dan Thai AirAsia X (TAAX) turut mempunyai rancangan kukuh untuk membuat bayaran balik kepada semua penumpang yang terkesan sejak dua tahun lepas berikutan Covid-19, dalam beberapa bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan AirAsia telah membuat bayaran balik kepada hampir semua pelanggan yang terjejas.

“Kini, sekatan perjalanan telah mula dilonggarkan secara berperingkat di beberapa pasaran utama kami dan kami melihat ramai penumpang telah memanfaatkan akaun kredit mereka untuk kembali terbang bersama kami.

“AAX berdepan dengan situasi yang lebih sukar berikutan penutupan sempadan antarabangsa, menyebabkan mereka tidak dapat beroperasi sepenuhnya serta terpaksa bergantung dengan aliran tunai yang terhad sepanjang tempoh itu.

“Bagaimanapun, kini mereka telah kembali beroperasi dan telah mula membuat bayaran balik kepada para penumpang yang terkesan menerusi baucar perjalanan bersamaan nilai tempahan yang dibuat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, TAAX juga turut terkesan dengan pandemik dan sedang bekerja keras untuk menyelesaikan semua hutang yang tertunggak kepada tetamu melalui bayaran balik dan pemberian kredit.

Sehingga kini, majoriti daripada semua tetamu yang terjejas telah menerima baucar perjalanan mereka, melibatkan lebih 155,000 tetamu.

AAAGL menyasarkan untuk menyelesaikan baki baucar perjalanan sebanyak 30% lagi dalam beberapa minggu akan datang, menurut kenyataan itu.