- Iklan -
Berita

Entiti ambil alih agensi penarafan RAM cetus tanda tanya dalam pasaran

CTOS Digital terima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk memiliki majoriti kepentingan RAM, menerusi langkah kontroversi yang mencetuskan tanda tanya berhubung integriti pasaran modal hutang Malaysia.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara bangunan pencakar langit di ibu negara Kuala Lumpur.
Pemandangan dari udara bangunan pencakar langit di ibu negara Kuala Lumpur.

Kredibiliti RAM Holdings sebagai badan bebas kini menjadi persoalan apabila sebuah entiti baru bakal memiliki kepentingan majoriti dalam firma penarafan kredit CTOS Digital selepas menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), MalaysiaNow difahamkan.

MalaysiaNow juga boleh mendedahkan bahawa CTOS Digital Bhd, yang mempunyai kaitan dengan Creador, firma ekuiti swasta milik Brahmal Vasudevan, menerima kelulusan daripada SC untuk memiliki 51% pegangan dalam RAM, sebuah syarikat yang ditubuhkan Bank Negara Malaysia pada 1990 untuk menyokong pasaran modal hutang tempatan.

RAM diterima sebagai peneraju industri dalam penarafan kredit oleh kebanyakan pengurus dana, malah penilaian kreditnya dianggap sebagai rujukan penting bagi bank serta pengawal selia kewangan.

Namun begitu, antara halangan yang dihadapi CTOS ialah sebuah klausa dalam perlembagaan RAM yang melarang pemegang sahamnya memiliki lebih daripada 20% pegangan dalam syarikat tersebut.

Bagi mengatasi perkara ini, satu cadangan diusulkan untuk mengundi di mesyuarat agung tahunan (AGM) RAM untuk meminda klausa tersebut, bagi membolehkan pemilikan saham lebih daripada had yang ditetapkan.

MalaysiaNow sudah meneliti cadangan tersebut yang mana ia dimasukkan dalam notis AGM pada 9 Jun depan yang diedarkan kepada ahli.

Mengikut peruntukan sedia ada, had bagi pemilikan saham RAM bagi setiap pemegang saham tidak boleh melebihi 20%, had yang ditetapkan untuk memastikan kebebasan agensi itu.

Cadangan bagi pindaan tersebut bagaimanapun akan menyebabkan perubahan drastik, apabila pemegang saham boleh memiliki pegangan lebih daripada 20% selagi “kelulusan daripada SC dan/atau pihak berkuasa berkaitan… diterima berpandukan undang-undang, syarat dan garis panduan dari semasa ke semasa yang dikuatkuasakan SC dan/atau pihak berkuasa berkaitan untuk membolehkan ahli memiliki saham syarikat lebih daripada had yang ditetapkan.”

Notis AGM yang diteliti oleh MalaysiaNow itu juga memaklumkan ahlinya bahawa SC pada 28 April, 2022, meluluskan permohonan CTOS untuk memiliki majoriti saham RAM, serta sebarang kenaikan saham.

CTOS kini memiliki 11.52% saham modal RAM, yang mana ia bakal meningkat kepada 19.25% “menunggu urusan pentadbiran selesai”, menurut permohonan daripada CTOS untuk meminda perlembagaan RAM menjelang AGM agensi itu.

Permohonan itu diletakkan dibawah “urusan khas” dalam AGM Jun 9 yang akan dilakukan secara hibrid.

‘Pengakhiran integriti kewangan’

Cadangan itu menarik perhatian beberapa pengurus dana dan bank yang bercakap dengan MalaysiaNow dengan merahsiakan identiti mereka.

Ramai menyifatkan perkara itu sebagai “melemahkan RAM secara berperingkat”, dan menyatakan bahawa entiti asing dan bukan perbankan adalah antara beberapa pemegang saham agensi tersebut.

“Amalan ini akan menghancurkan kredibiliti RAM, memandangkan CTOS merupakan entiti baru yang disenarai awam baru-baru ini di Bursa Malaysia.

“Dengan kebenaran memiliki RAM, ia mempunyai kuasa mengawal RAM yang sepatutnya berfungsi sebagai agensi penarafan kredit bebas,” kata seorang eksekutif kanan di sebuah syarikat ekuiti di Kuala Lumpur.

Selain itu, antara kebimbangan lain dalam isu ini melibatkan konflik kepentingan membabitkan beberapa individu dalam CTOS.

“Kita tahu bahawa sekurang-kurangnya seorang pengarah bebas bukan eksekutif CTOS mempunyai kedudukan dalam ahli lembaga pengarah SC,” kata penganalisis pasaran modal kepada MalaysiaNow.

“Justeru, apabila hanya CTOS yang diberikan kebenaran untuk memiliki pegangan lebih 51% dalam RAM, ia bukan sahaja sebuah konflik, tetapi juga membunuh integriti sektor kewangan Malaysia, terutama apabila laporan kreditnya mempunyai implikasi dalam pasaran bon.

“Ini merugikan Malaysia memandangkan penarafan hutang kini ditentukan oleh satu entiti.”

Pengurus dana itu juga menegaskan Malaysia kini bergelut membayar faedah tinggi berhubung bon yang berkait dengan 1MDB.

“Beberapa bon ini diluluskan oleh SC. Asas kelulusan bagi tempoh dan kupon bon itu sahaja sudah menimbulkan keraguan. Ramai mempersoalkan harga bayaran yang kita perlu bayar terhadap bon-bon 1MDB.

“Orang ramai perlu tahu bahawa ini bukan satu keputusan kecil”

MalaysiaNow juga sedang berusaha mendapatkan maklum balas pihak yang berkaitan.