Friday, July 1, 2022

Dari sawah padi kepada pelancongan di kampung Bidayuh

Walaupun penduduk Kampung Danu secara tradisinya bergantung kepada hasil padi, kini mereka beralih kepada tanaman komersial dan pelancongan.

Other News

Setiap pagi, penduduk Kampung Danu, sebuah perkampungan Bidayuh di Padawan, Sarawak, keluar ke ladang untuk bekerja.

Selama beberapa dekad, begitulah rutin harian mereka.

Akan tetapi ladang mereka pada hari ini sangat berbeza berbanding generasi terdahulu.

Pada suatu ketika, petani Kampung Danu menanam padi huma, yang hanya terdapat di Sabah dan Sarawak.

Sawah mereka subur di lereng bukit, para petani menuai hasil yang banyak daripada kerja tani mereka itu.

Namun keadaan mula berubah pada akhir abad ke-20 ekoran kemunculan syarikat pembalakan dan industri kelapa sawit.

Ramai petani mula beralih kepada tanaman komersial seperti koko, lada, getah dan kelapa sawit.

Pada masa sama, hutan hujan tebal yang tidak disentuh sejak beberapa generasi dibersihkan bagi pembangunan projek komersial.

Walaupun masyarakat Bidayuh di kawasan itu masih menganggap padi sebagai pemberian Tuhan, namun semakin banyak sawah padi ditukar dengan penanaman komoditi perladangan yang lain.

Hari ini, perayaan Gawai Dayak lebih banyak diserikan dengan kehadiran pengunjung luar yang mahu merasai sendiri pengalaman sambutan perayaan itu.

Setiap tahun, penduduk kampung akan mengadakan aktiviti dan acara bagi meraikan tradisi Bidayuh, dengan harapan ia dapat menarik pelancong ke perkampungan kecil mereka.

“Pelawat dialu-alukan untuk datang dan tinggal bersama kami,” kata seorang penduduk kampung, Roberth Kenneth kepada MalaysiaNow.

“Kami mahu orang untuk lihat dunia kami. Kami tidak mahu dilupakan, kami mempunyai banyak warisan untuk dikongsi.”

Menurutnya, walaupun kampung itu mulai perlahan-lahan beralih daripada pertanian tradisional kepada pelancongan, namun masyarakat Bidayuh di kampung itu itu masih mempunyai jati diri dan semangat kekitaan yang kuat berpasakkan warisan tradisinya.

“Selagi kita terus bersatu dan meraikan perayaan itu bersama-sama ia akan terus hidup,” tambahnya.

Kini, tiada lagi sawah padi huma di kampung itu sementara petani tidak tertarik untuk menanam tanaman itu melainkan ada faedah kewangan.

“Kami menjual tanaman kontan yang tumbuh secara liar,” kata Kenneth, yang beralih kepada penanaman avokado dan pisang di ladangnya.

Dia tidak pasti sama ada akan kembali menanam padi huma.

“Saya tidak tahu sama ada keadaan sekarang dengan masalah inflasi akan semakin pulih dalam masa terdekat,” katanya.

“Menanam padi perlukan kos yang sangat mahal,” tambahnya.

“Saya rasa lebih baik kampung ini dibangunkan sebagai destinasi pelancongan.

“Terdapat aktiviti berkayak di kampung bagi pelancong. Pelancongan boleh tingkatkan ekonomi di sini.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles