Saturday, July 2, 2022

Perjalanan masih jauh untuk Proton-Geely berjaya, kata pakar automotif 

Walaupun Proton berjaya menstabilkan operasi dan menunjukkan prestasi yang lebih baik dari segi jualan, namun masih banyak perlu dilakukan dari aspek pemindahan teknologi.

Other News

Selepas lima tahun, usaha sama antara Proton dan pengeluar kereta dari China, Geely boleh disifatkan sebagai satu kejayaan memandangkan jualan kenderaan Proton terus melonjak walaupun negara berdepan pandemik Covid-19.

Namun begitu, beberapa pakar automotif melihat usaha sama itu masih belum mencapai matlamat sebenarnya dalam menjadikan Proton sebagai satu produk automotif yang kukuh terutamanya di peringkat global.

Bercakap dengan MalaysiaNow, pakar automotif Hezeri Samsuri, berkata usaha sama dengan Geely sememangnya berjaya membebaskan jenama automotif tempatan itu daripada kemelut yang dihadapi sebelum ini, tetapi ia masih perlu melalui perjalanan yang jauh sebelum  dianggap sebagai pesaing utama syarikat seperti Honda atau Toyota di pasaran global.

Menurutnya, isu utama dalam usaha sama itu ialah “proses” pemindahan teknologi yang masih dilihat tidak berlaku antara kedua-dua syarikat terbabit.

“Dari segi selamatkan Proton, memang berjaya tetapi bukan 100% kerana ketika JV bermula dulu, kita dijanjikan pemindahan teknologi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Soalan saya ialah berapa ramai daripada Proton dihantar ke China untuk belajar dengan Geely atau Volvo?”

Mengulas lanjut, Hezeri yang merupakan pengarang Urusan Careta.my, turut menyatakan proses pemindahan teknologi merupakan elemen penting untuk Proton menghasilkan teknologi tersendiri seperti dilakukan syarikat automotif asing.

“Honda ada Vtec manakala Toyota menghasilkan sistem VVTI. Proton masih tiada teknologi sendiri sebab itu usaha sama penting untuk menuju ke arah itu,” jelasnya.

“Dari segi syarikat dan operasi memang Proton sudah berada di kedudukan selesa, tetapi untuk jangka masa panjang, saya tak nampak apa-apa lagi.”

Tambah Hezeri, melangkah ke hadapan, Proton seharusnya sasar menghantar pakar mereka bekerja bersama Volvo atau Geely dalam menghasilkan produk baru.

Pada 2017, DRB-Hicom menjual 49.9% pegangan saham dalam Proton kepada Zhejiang Geely Holding Group menjadikan Geely sebagai rakan strategik Proton selepas syarikat automotif tempatan itu bergerak “solo” apabila menamatkan usaha sama dengan Mitsubishi pada tahun 2000.

Seorang lagi pakar automotif Chips Yap, berpandangan usaha sama antara Proton dan Geely sewajarnya dilakukan lebih awal lagi memandangkan syarikat automotif memerlukan kerjasama antara satu sama lain dan sukar untuk mereka menyerlah apabila bergerak solo.

Beliau berkata, Perodua merupakan antara contoh terbaik apabila mereka mengekalkan usaha sama dengan Daihatsu dan akhirnya kini berjaya menguasai pasaran automotif tempatan dengan pegangan kira-kira 25%.

Malah, Perodua kekal mendominasi pasaran tempatan sejak 2006 selepas mereka mula memperkenalkan model pertama Myvi dan kereta itu menjadi kenderaan paling laris di Malaysia sehingga hari ini.

“Perodua merasakan mereka masih perlu belajar mengenai perkembangan dunia automotif jadi mereka kekalkan hubungan dengan rakan kongsi. Ini adalah sikap yang diperlukan,” kata Yap yang juga pengarang urusan PISTON.my

“Syarikat itu sentiasa dengar dan ikut telunjuk rakan kongsi, walaupun ramai kata Perodua sekadar melakukan penjenamaan semula, sebenarnya kebanyakan model yang diperkenalkan dibuat oleh rakyat tempatan.

“Cuma bahagian kejuruteraan yang melibatkan kos tinggi mereka gunakan kepakaran luar tetapi ini tidak menjadi masalah sebab syarikat gergasi seperti Toyota pun lakukan perkara sama untuk membangunkan model baru.”

Namun begitu, Hezeri dan Yap berpandangan Proton dan Perodua tidak dianggap sebagai pesaing apabila kedua-dua syarikat automotif tempatan itu mempunyai sasaran pelanggan yang berbeza.

Malah, Proton dilihat lebih tertumpu kepada pasaran antarabangsa manakala Perodua pula menjurus ke pasaran tempatan dan terus fokus menghasilkan kereta bercirikan mampu milik.

“Proton pernah cuba tetapi tewas dalam konsep mampu milik. Bagaimanapun, jenama Proton masih kukuh di Malaysia,” kata Hezeri.

“Geely memberi peluang kepada Proton untuk kembangkan produk ke ruangan baru.”

Menurut Yap, pengenalan produk seperti X70 dan X50 memberi nafas baru kepada Proton dan produk sebegitu jelas sekali dialu-alukan dalam kalangan pengguna di Malaysia.

“Geely juga sudah banyak melabur dalam memajukan kilang Proton di Tanjung Malim, jelas sekali mereka mempunyai perancangan ke arah eksport.

“Proton tidak boleh bergantung kepada pasaran domestik dan perlu tumpu ke pasaran eksport dalam usaha meningkatkan jumlah jualan mereka bagi menjana pendapatan tambahan,” katanya sambil menambah usaha sama JV dilihat berjaya merealisasikan sasaran tersebut.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles