Monday, June 27, 2022

Akta SPRM benarkan penjawat awam termasuk hakim disiasat

Badan anti rasuah itu berkata siasatan yang dilakukan ke atas individu itu tidak bermaksud seseorang itu telah bersalah.

Other News

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata berdasarkan prosedur ia bertanggungjawab untuk menyiasat sebarang laporan atau aduan rasmi, ketika isu siasatan hakim yang menyabitkan jenayah rasuah ke atas bekas perdana menteri Najib Razak dua tahun lalu dibangkitkan.

Dalam sebuah kenyataan, ia turut berkata siasatan yang dijalankan terhadap mana-mana individu tidak bermakna dia sudah melakukan kesalahan.

“Suruhanjaya ini bertanggungjawab untuk mengesahkan dan menyiasat sesuatu laporan atau aduan rasmi yang dibuat kepada SPRM melibatkan perkara-perkara di bawah bidang kuasanya,” katanya.

Menurut SPRM ia diberikan kuasa untuk menyiasat kes jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009 termasuk siasatan terhadap “pegawai badan awam” seperti yang ditafsirkan dalam Seksyen 3 akta itu.

“’Pegawai badan awam’ ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, ahli Parlimen, ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, dan mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan, jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu,” katanya.

Baru-baru ini SPRM membuka siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan wang yang tidak dijelaskan di dalam akaun banknya.

Nazlan yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi pada 2020 mendapati Najib bersalah bagi kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta.

Dalam pada itu, SPRM berkata selaras dengan prinsip pengasingan kuasa, setelah semua proses siasatan selesai dilakukan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membuat keputusan sama ada melakukan pendakwaan atau sebaliknya.

Sebelum ini, SPRM berkata ia mempunyai rekod menyiasat hakim yang mana kertas siasatan berkaitan diserahkan kepada AGC untuk membuat penilaian.

Berhubung siasatan terhadap Nazlan, SPRM berkata ia menerima satu aduan pada 15 Mac 2022 disusuli dua lagi aduan pada 23 dan 27 April 2022.

“Sehubungan itu, SPRM memohon masyarakat umum memberi ruang untuk proses siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles