- Iklan -
Berita

Imigresen nafi depoh tahanan sesak, kurang petugas

Menurut ketua pengarah imigresen, jumlah tahanan di semua depoh adalah kira-kira 17,000 orang, kurang daripada kapasiti sebenar depoh di seluruh negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa buah lori Jabatan Imigresen Malaysia yang membawa sebahagian tahanan etnik Rohingya meninggalkan depoh imigresen Relau Bandar Baharu, Kedah pada 20 April lalu. Gambar: Bernama
Beberapa buah lori Jabatan Imigresen Malaysia yang membawa sebahagian tahanan etnik Rohingya meninggalkan depoh imigresen Relau Bandar Baharu, Kedah pada 20 April lalu. Gambar: Bernama

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan bahawa depoh imigresen di Lenggeng, Negeri Sembilan sesak dan tiga depoh lain kekurangan petugas.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata jumlah kapasiti tahanan di semua 21 depoh imigresen seluruh Malaysia termasuk tiga depoh Imigresen sementara adalah 21,150 orang, sedangkan jumlah tahanan di semua depoh tersebut adalah kira-kira 17,000 orang sehingga 24 April.

Katanya ia terdiri dari 12,895 lelaki, 3,211 perempuan, 851 kanak-kanak lelaki dan 677 kanak-kanak perempuan dengan kesemua kanak-kanak ditempatkan bersama penjaga mereka.

“Jumlah kapasiti tahanan di depoh Lenggeng Negeri Sembilan adalah seramai 1,000 orang iaitu 800 lelaki dan 200 perempuan.

“Sehingga 24 April tahun ini, jumlah tahanan di depoh imigresen Lenggeng adalah seramai 779 orang terdiri dari 583 lelaki, 173 perempuan, 15 kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dzaimee berkata daripada segi perjawatan, jabatan itu telah mengkaji keperluan perjawatan bagi semua depoh pada tahun 2019 dengan mengambil kira keperluan sebenar pegawai dan telah dipersetujui oleh agensi pusat termasuk tambahan jawatan di empat pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah selepas pengambilalihan daripada Majlis Keselamatan Negara.

Katanya imigresen sedang membuat pengisian kekosongan jawatan termasuk di depoh-depoh tahanan secara berterusan.

Beliau berkata demikian susulan laporan media tempatan hari ini berhubung kenyataan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Noor Aziah Mohd Awal yang mendakwa keadaan depoh imigresen di Lenggeng, Negeri Sembilan sesak dengan tahanan, manakala tiga depoh lain kekurangan petugas.

Dzaimee berkata pihaknya mengambil serius kenyataan tersebut yang disifatkan tidak berasaskan fakta dan tidak memberikan gambaran sebenar mengenai situasi semasa pengurusan depot-depot Imigresen di seluruh negara.

“Di dalam pengurusan depoh, imigresen sentiasa mematuhi ketetapan di dalam Peraturan Minimum Standard Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Tahanan (The Nelson Mandela Rules), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan-peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot 2003), Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pengurusan dan Pentadbiran Depot Imigresen dan garis panduan ICRC (Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah) untuk aspek kesihatan, ” katanya.