Saturday, July 2, 2022

Mahkamah benarkan lanjutan masa untuk Najib failkan petisyen rayuan kes SRC

Bekas perdana menteri diberi sehingga hari ini untuk failkan petisyennya.

Other News

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mendapat kelulusan dari Mahkamah Persekutuan untuk lanjutan tempoh bagi memfailkan petisyen rayuan untuk mengenepikan sabitannya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara meluluskan permohonan yang difailkan Najib pada 11 April lalu, lapor Malaysiakini.

Najib mesti memfailkan petisyen rayuan tersebut selewat-lewatnya hari ini, iaitu tarikh akhir yang dinyatakan dalam permohonannya.

Terdahulu, dalam afidavit sokongannya, Najib berkata pasukan pembelaannya memerlukan lebih masa untuk mengkaji rekod rayuan dan menyediakan petisyen yang lengkap.

Beliau berkata alasan penghakiman yang disediakan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengandungi 176 jilid keseluruhannya dan pihak pembelaan menerimanya pada 31 Mac lepas.

“Ia adalah mustahil untuk pasukan pembelaan saya meneliti rekod rayuan yang diterima dan menyediakan petisyen rayuan yang lengkap dalam masa yang singkat bagi menangani segala isu yang diketengahkan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan.

“Alasan penghakiman tersebut perlu diteliti dengan memeriksa nota prosiding pada kedua-dua peringkat prosiding bagi memastikan ketepatan dalam dapatan fakta, inferens yang dibuat dan undang-undang yang terpakai,” kata ahli Parlimen Pekan itu.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib di mana beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta atas kesalahan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel hakim bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera secara sebulat suara mengenepikan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang disampaikan pada 8 Julai 2020.

Najib kini dalam proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles