Tuesday, May 17, 2022

Tiada keperluan perakuan Sirim untuk pelitup muka bukan perubatan, kata pakar kesihatan

Mereka menyuarakan persoalan mengenai kewujudan piawaian industri yang diiktiraf untuk pelitup muka kategori itu.

Other News

Keputusan kerajaan mewajibkan pelitup muka bukan perubatan supaya mendapatkan perakuan dan penandaan Sirim sebelum dijual ke pasaran tempatan mencetuskan persoalan dalam kalangan pakar kesihatan.

Mereka berkata , tidak dapat dipastikan apakah niat dan sebab di sebalik tindakan untuk mendapatkan perakuan daripada agensi di bawah kementerian sains, teknologi dan inovasi yang bertugas untuk menentukan piawaian sesuatu produk, selepas lebih dua tahun pandemik Covid-19 melanda.

Bercakap dengan MalaysiaNow, beberapa pakar kesihatan menyatakan pelitup muka bukan perubatan tidak memerlukan perakuan Sirim, malah mereka juga tidak pasti sekiranya terdapat piawaian industri yang diiktiraf untuk pelitup muka kategori itu.

Pakar kesihatan awam dari Universiti Malaya (UM) Dr Sanjey Rampal berkata setakat ini hanya terdapat panduan mengenai pemakaian pelitup muka dengan lebih berkesan, namun ia tidak selaras.

Katanya, meskipun panduan itu memaparkan infografik menarik dan mudah difahami di media sosial, namun masih tiada bukti kukuh berhubung keberkesanan pemakaian pelitup muka secara umum dalam mengurangkan penularan Covid-19 pada masa ini.

“Kita tidak perlukan pensijilan Sirim untuk pelitup muka bukan perubatan. Saya tidak faham mengapa perlu perakuan untuk pelitup muka bukan perubatan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Pemakaian pelitup muka secara umum kemungkinan mempunyai keberkesanan rendah berikutan penggunannya secara lebih meluas, malah ia bukan pilihan kos efektif ketika berada dalam fasa pandemik ini.”

Pada 7 April lalu, kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) mengumumkan pelitup muka bukan perubatan perlu mempunyai perakuan Sirim sebelum ia dijual di pasaran berkuatkuasa 1 Januari, 2023.

KPDNHEP berkata, syarikat yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dideda sehingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan meningkat tidak melebihi RM500,000 untuk kesalahan berikutnya.

Katanya, bagi individu yang terdiri daripada pengilang dan pengimport pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Orang ramai turut mempersoalkan keputusan yang dirasakan akan menyebabkan pihak tertentu memonopoli jualan pelitup muka bukan perubatan di pasaran.

Pengarah Click2Health, syarikat penyedia penjagaan kesihatan, M Mohan, berkata kebimbangan yang diluahkan orang ramai sememangnya sahih memandangkan isu monopoli dalam kalangan industri semakin serius.

Katanya, bagi jualan pelitup muka, terdapat begitu banyak pengeluar dan agak mustahil untuk satu atau dua syarikat memonopoli pasaran ini memandangkan produk tersebut tidak begitu sukar untuk dihasilkan.

“Kos pengeluaran tidak tinggi, justeru ramai usahawan atau syarikat masih boleh bertahan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mohan bagaimanapun berpendapat kerajaan mengumumkan syarat itu baru-baru ini adalah kerana tiada siapa menjangkakan pandemik Covid-19 akan berlanjutan sehingga ke hari ini.

“Nampaknya pandemik ini akan kekal untuk tempoh masa yang lama dan jualan pelitup muka sudah menjadi satu perniagaan yang besar, malah semakin ramai kini terlibat dalam pengeluaran pelitup muka.

“Mungkin perakuan Sirim ini akan memastikan pengguna dapat elak daripada membeli pelitup muka yang tidak berfungsi,” katanya dan menambah kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow, turut mempersoalkan keputusan itu memandangkan ubat-ubatan dan bekalan pembedahan yang diimport tidak memerlukan kelulusan Sirim.

“Sekiranya sesorang di Malaysia boleh menghasilkan, memasarkan dan menjual produknya sendiri tanpa kelulusan Sirim dan pembeli boleh terima dari segi nilai muka, kenapa perlu perakuan Sirim” soal beliau.

Dalam pada itu, Sanjey berkata, peningkatan bukti yang menunjukkan penyebaran Covid-19 melalui udara sepatutnya mengubah strategi ke arah pengudaraan yang lebih baik serta menggalakkan penggunaan pelitup muka dengan kadar tapisan yang lebih tinggi (N95) di kawasan risiko jangkitan tinggi.

“Bagaimanapun, penapisan lebih tinggi akan lebih menyukarkan kita untuk bernafas, oleh itu, ia harus digunakan dalam tempoh yang singkat,” tambahnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles