- Iklan -
Berita

UiTM lapor polis berhubung penularan laporan kronologi pensyarah maki pelajar

Laporan polis itu dibuat bagi melindungi pelajar dan kakitangan yang terlibat dalam isu tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Laporan polis dibuat selepas penularan laporan kronologi yang disediakan UiTM mengenai insiden pensyarah kontraknya yang dikatakan memperlekeh penuntut B40. Gambar: Bernama
Laporan polis dibuat selepas penularan laporan kronologi yang disediakan UiTM mengenai insiden pensyarah kontraknya yang dikatakan memperlekeh penuntut B40. Gambar: Bernama

Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat laporan polis selepas laporan kronologi yang disediakan universiti itu mengenai insiden pensyarah kontraknya yang dipercayai memperlekeh penuntut B40 tular di media sosial.

Naib Canselor UiTM Roziah Mohd Janor berkata laporan polis itu dibuat bagi melindungi pelajar dan kakitangannya.

“Sebenarnya saya faham keadaan itu, kita ini hidup dalam zaman media sosial, tetapi pada masa yang sama, kami juga, bukan kata tertakluk, kita ada undang-undang. Ada maklumat rahsia (tidak boleh dikongsi).

“Kalau kata maklumat rahsia, maknanya orang yang menerima laporan itu, tidak kiralah secara dalam talian atau emel, sepatutnya hormatlah. Tidak boleh dikongsikan dengan sesiapa di luar edaran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penutup Minggu Kreativiti Pendidikan 2022 di UiTM Puncak Alam semalam.

Roziah berkata laporan tiga muka surat itu bertujuan untuk pihaknya melaporkan secara terperinci mengenai perkara yang berlaku selain memberi pemahaman kepada pihak yang tiada di tempat kejadian.

“Kita bukan kongsi (laporan kronologi) tapi kita hantar kepada pihak yang sepatutnya. Saya tidak tahu bagaimana kebocoran itu berlaku, apa pun kita ada polisi dan undang-undang,” katanya.

Tambahnya, pada malam ini, pihaknya akan membawa isu itu ke Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Khas yang akan dipengerusikan oleh Ibrahim Abu Shah dan melibatkan wakil kementerian pengajian tinggi (KPT) .

“Insya Allah keputusan dijangka dicapai, kita akan salurkan kepada kementerian (KPT) (keputusan yang dicapai). Apa yang sudah terbocor (laporan kronologi) itulah sebenarnya pilihan yang akan dibentangkan,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman kelas dalam talian yang memaparkan seorang pensyarah memperlekeh penuntutnya kerana tidak mempunyai komputer riba serta meminta penuntut sama menyuruh kakaknya menggadai emas bagi membeli peralatan tersebut.

Susulan itu, satu dokumen dalaman UiTM iaitu laporan kronologi siasatan berkenaan kejadian tersebut, turut tersebar.