Bermula 1 April depan, pengembara yang m lengkap divaksinasi akan dibenarkan untuk melakukan perjalan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura melalui jalan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau ujian saringan Covid-19, termasuk sebelum perlepasan dan ketika ketibaan.
Dalam sebuah kenyataan bersama, pejabat perdana menteri Malaysia dan Singapura berkata keputusan tersebut dibuat selari dengan peralihan kedua-dua negara untuk hidup bersama virus Covid-19.
“Ini adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.”
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula 1 April 2022, dan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura.
Dalam pada itu, rakan sejawatnya Lee Hsien Loong berkata pengumuman tersebut menunjukkan kedua-dua negara menikmati hubungan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua-dua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kedua-dua negara muncul lebih kuat daripada krisis Covid-19.
Sempadan darat Malaysia-Singapura ditutup pada Mac 2020 sebagai sebahagian usaha untuk membendung penularan Covid-19.
Sebelum pandemik, kira-kira 300,000 warga Malaysia merentas sempadan ke Singapura pada setiap hari.
Laluan Perjalan Vaksin Lengkap (VTL) juga dilancarkan kedua-dua negara pada November lalu, di mana pengembara yang lengkap divaksin dibenarkan untuk melakukan perjalanan masuk dan keluar dari kedua-dua negara selepas menjalani ujian saringan Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri.
Kerajaan Singapura berkata pada Februari pihaknya sedang berbincang untuk memperluaskan inisiatif VTL dengan memasukkan kenderaan persendirian dan bas ke dalam senarai pengangkutan yang dibenarkan.