Monday, May 16, 2022

Zahid beri amaran kepada ‘pengkhianat dalam Umno’

Presiden Umno itu berkata beliau tidak menghiraukan serangan dari pihak luar tetapi tidak dapat menerima tindakan segelintir pihak yang disifatkannya sebagai 'gunting dalam lipatan'.

Other News

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberikan amaran kepada “penentang-penentangnya” dalam parti itu, mengatakan walaupun seringkali berdiam diri beliau tidak pernah leka dengan sebarang asakan terhadapnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau tidak menghiraukan serangan dari pihak luar tetapi tidak dapat menerima tindakan segelintir pihak yang disifatkannya sebagai “gunting dalam lipatan”.

“Saya kecewa dengan mereka yang menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengkhianati parti dari dalam,” katanya dalam ucapan dasar presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

“Usahlah asak saya sampai ke dinding. Saya tidak maksum. Saya tidak sempurna. Setiap perbuatan kita perlu ada hadnya!”

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, Zahid dipercayai merujuk kepada kumpulan pemimpin Umno yang bersekutu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden parti itu.

Zahid antara pemimpin utama Umno bersekutu dengan bekas perdana menteri Najib Razak yang dilihat sedang menjalankan usaha supaya Ismail membubarkan Parlimen seterusnya memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Ismail menegaskan desakan itu hanya datang dari kelompok kecil dalam Umno dan menggesa partinya agar menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pembubaran Parlimen.

Dalam ucapannya hari ini Zahid mengingatkan ahli Umno tentang setiakawan dalam perjuangan.

“Ada kawan yang meninggalkan kita sewaktu kita susah, dan ada pula yang berkawan dengan kita secara bersyarat. Jadi, pilihlah kawan yang benar-benar ikhlas dan jujur. Pilihlah kawan dunia akhirat.

“Pilihlah kawan-kawan yang taat dan setia kepada parti. Dalam lawan ada kawan, dalam kawan ada lawan,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles