- Iklan -
Berita

32.9% kanak-kanak terima vaksin, 64.9% dewasa diberi dos penggalak

Sementara itu, 91.2% populasi remaja pula telah lengkap divaksinasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak tenang menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah PICKids. Gambar: Bernama
Seorang kanak-kanak tenang menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah PICKids. Gambar: Bernama

Sebanyak 2,837,197 individu atau 91.2% daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini telah melengkapkan vaksinasi Covid-19, setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sebanyak 2,937,206 individu atau 94.4% daripada kumpulan itu pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pula, sebanyak 1,167,019 individu atau 32.9% telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Sementara itu, bagi populasi dewasa, sejumlah 15,280,702 individu atau 64.9% telah menerima dos penggalak Covid-19 manakala sejumlah 22,934,957 individu atau 97.5% daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka dan 23,211,514 individu atau 98.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 45,025 dos vaksin diberikan meliputi 23,489 dos pertama, 1,349 dos kedua dan 20,187 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,159,756.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 87 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Johor merekodkan angka tertinggi iaitu 22 kes, diikuti Selangor (18), Perak (10), Pulau Pinang dan Kuala Lumpur masing-masing enam kes.

Pahang merekodkan lima kes, masing-masing empat kes di Kedah dan Kelantan, manakala Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing tiga kes, Sarawak (dua) serta Sabah (satu).