- Iklan -
Berita

Kerajaan akan semak semula kadar garis kemiskinan, dijangka pinda tahun depan

Jabatan perangkaan akan menyemak semula kadar kemiskinan dalam PGK yang diguna pakai ketika ini iaitu RM2,208 bagi isi rumah dan bagi miskin tegar RM1,169 setiap isi rumah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Negara masih berdepan beberapa isu dan cabaran berhubung kemiskinan warga selain terpaksa menghadapi impak pandemik Covid-19.
Negara masih berdepan beberapa isu dan cabaran berhubung kemiskinan warga selain terpaksa menghadapi impak pandemik Covid-19.

Kadar had pendapatan garis kemiskinan (PGK) akan disemak semula dan dijangka dipinda pada suku pertama tahun depan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, Jabatan Perangkaan akan menyemak semula kadar kemiskinan dalam PGK yang diguna pakai ketika ini iaitu RM2,208 bagi isi rumah dan bagi miskin tegar RM1,169 setiap isi rumah.

“Angka ini akan disemak dan dijangka pada suku pertama tahun depan akan dipinda sewajarnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kerajaan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) mempunyai komitmen tinggi untuk menghapuskan isu miskin tegar dengan pendapatan purata RM1,169 setiap isi rumah menerusi pendekatan holistik dan komprehensif.

Jelasnya, kadar kemiskinan negara juga berubah dengan ketara sejak lima dekad lalu dipengaruhi faktor kadar pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan yang memberangsangkan sepanjang tempoh itu serta kewujudan Dasar Ekonomi Baru.

“Bagaimanapun negara masih berdepan beberapa isu dan cabaran seperti kelompok miskin masih wujud melibatkan golongan masyarakat dan kawasan tertentu seperti bandar dan luar bandar serta kawasan Orang Asli.

“Selain itu, isu gaji serta upah yang rendah serta ketidaksamaan pembangunan antara wilayah dan negeri, bandar dengan luar bandar masih wujud, selain penularan pandemik Covid-19 yang turut memberi impak besar kepada pendapatan isi rumah,” katanya.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai keadaan kemiskinan dalam bandar dan luar bandar, jurang pendapatan dalam negara serta pencapaian dan kegagalan program yang dirangka dan dilaksana kerajaan untuk mewujudkan masyarakat lebih saksama.