- Iklan -
Berita

Mavcom ‘tiada taring’, kata Fomca berhubung isu tiket AirAsia

Badan pengguna itu berkata Mavcom perlu mengambil pendirian tegas kerana isu tersebut sudah berlarutan sejak dua tahun lalu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Krew syarikat penerbangan Air Asia menjalankan tugas menyiapkan pesawat sebelum berlepas ke di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Krew syarikat penerbangan Air Asia menjalankan tugas menyiapkan pesawat sebelum berlepas ke di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) digesa supaya mengambil pendirian yang tegas berhubung isu tuntutan bayaran balik tiket penerbangan AirAsia yang dibatalkan susulan penularan Covid-19 sejak awal 2020, kata Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca Saravanan Thambirajah berkata, isu itu meleret sehingga dua tahun apabila pengguna masih menunggu syarikat penerbangan tambang murah itu memulangkan wang tiket yang dibeli.

Katanya, Mavcom diibaratkan seperti “tiada taring” apabila tidak mengambil tindakan terhadap AirAsia dan membiarkan syarikat itu terus mengabaikan hak pengguna.

“Perbuatan ini salah. AirAsia patut pulangkan duit penumpang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Saravanan, undang-undang dan dasar sedia ada sudah memadai untuk membela nasib pengguna namun ia tidak dikuatkuasakan dengan baik oleh Mavcom.

Beliau berkata, ramai yang tidak begitu arif mengenai hak pengguna, justeru akan bergantung kepada Mavcom untuk perjuangkan hak mereka berhubung isu membabitkan penerbangan.

“Sebagai suruhanjaya, kod pengguna sangat jelas bahawa apabila berlaku pembatalan, syarikat tersebut sepatutnya pulangkan duit dalam tempoh 30 hari sahaja,” tambahnya.

“Sebaliknya Mavcom tidak begitu tegas berhubung isu ini, membuatkan ramai hanya tertunggu-tunggu sahaja.”

Isu berkaitan tuntutan tiket penerbangan ini bermula apabila syarikat penerbangan termasuk AirAsia menutup semua operasi penerbangan selepas kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pertengahan Mac 2020.

Ekoran itu, penumpang memfailkan tuntutan bayaran balik bagi tiket penerbangan yang dibeli, namun MalaysiaNow dimaklumkan masih ramai yang menunggu untuk menerima wang mereka daripada AirAsia meskipun isu ini sudah berlarutan hampir dua tahun.

Beberapa individu turut tampil kepada MalaysiaNow bagi menceritakan usaha mendapatkan semula wang mereka, malah mereka meluahkan rasa kecewa terhadap Mavcom apabila mendakwa suruhanjaya itu gagal memperjuangkan nasib mereka.

Pada 12 November lalu, AirAsia menerusi kenyataan media, memaklumkan mengenai cadangan skim penstrukturan hutang AirAsia X berjumlah RM33.65 bilion yang mana ia dikatakan menerima persetujuan 99% daripada pemiutang menerusi undi pada mesyuarat yang diadakan pada hari sama.

Kenyataan itu menyebut, proses penstrukturan semula hutang tersebut dijangka selesai pada akhir suku pertama 2022.

Menurut AirAsia, apabila setuju dengan cadangan tersebut, pengguna akan menerima 0.5% daripada jumlah harga tiket yang dibayar serta sejumlah nilai keuntungan yang diperoleh dari tahun kewangan 2023-2026.

Selain itu pemiutang juga dijamin akan menerima kredit perjalanan yang boleh digunakan untuk membeli tiket penerbangan atau barangan serta perkhidmatan yang disediakan AirAsia X pada masa hadapan apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.

Mengulas mengenai cadangan tersebut, Saravanan berkata ia merupakan cadangan yang tidak adil memandangkan pengguna bayar sepenuhnya dan jumlah tiket dibeli mencecah ribuan ringgit.

Malah, katanya, AirAsia sepatutnya memulangkan duit penumpang sebelum mendapat kelulusan mahkamah mengenai langkah penstrukturan hutang tersebut.

“Kami faham syarikat itu berdepan tekanan kewangan, tapi dengan hanya memulangkan 0.5% daripada harga bayaran tiket, ia sangat tidak adil.”

“Sekiranya Mavcom tegas dengan AirAsia, pengguna mungkin boleh dapat semula wang mereka sebelum AAX mendapat kelulusan mahkamah bagi langkah penstrukturan hutang syarikat,” katanya.

MalaysiaNow turut mendapatkan maklum balas Mavcom berhubung perkara ini, dan suruhanjaya itu mengakui berhubung dengan pengadu, Shahril Amir Muhamad, 30.

Namun, Mavcom berkata, disebabkan tuntutan bayaran balik pengadu adalah sebahagian daripada penstrukturan hutang AirAsia, mereka akan terus memantau perkara tersebut kerana perlu mematuhi proses undang-undang.

“Mavcom akan teruskan komitmennya untuk melindungi hak pengguna dan akan terus berbincang dengan AirAsia X berhubung perkara tersebut sehingga bayaran balik dilaksanakan,” katanya menerusi maklum balas emel.