- Iklan -
Berita

‘Sang Bulbul’ India, Lata Mangeshkar meninggal dunia di usia 92 tahun

Lata Mangeshkar meninggal dunia berikutan kegagalan beberapa organ dalamannya selepas 28 hari dimasukkan ke hospital akibat jangkitan wabak Covid-19.

Reuters
3 minit bacaan
Kongsi
Penyanyi Lata Mangeshkar ketika menjawab soalan di Mumbai dalam satu sidang media pada 28 April 1999. Gambar: AFP
Penyanyi Lata Mangeshkar ketika menjawab soalan di Mumbai dalam satu sidang media pada 28 April 1999. Gambar: AFP

Ikon budaya dan penyanyi India yang terkenal dengan kelunakan suaranya, Lata Mangeshkar meninggal dunia pada Ahad di usia 92 tahun.

Beliau dimasukkan ke hospital pada 11 Januari lalu selepas disahkan doktor dijangkiti Covid-19.

Menurut Dr Pratit Samdani, Mangeshkar mengalami “kegagalan beberapa organ selepas lebih 28 hari dimasukkan ke hospital selepas selepas dijangkiti Covid-19.”

Suara Mangeshkar mewarnai siaran televisyen, radio dan pawagam sejak negara itu memperolehi kemerdekaan, menjadikan beliau sebagai penyanyi utama dan berpengaruh bagi beberapa generasi sekali gus digelar “Sang Bulbul”.

“Saya tak dapat menyatakan rasa sedih dan hiba saya,” tulis Perdana Menteri Narendra Modi dalam sebuah ciapan Twitter.

Menurut satu kenyataan kementerian dalam negeri, Mangeshkar akan dikebumikan dengan penghormatan nasional, selain seluruh negara diumumkan akan menjalani tempoh berkabung dengan kibaran separuh bendera pada Isnin.

“Lata Didi yang baik hati dan penyayang telah meninggalkan kita,” tulis Modi lagi menggunakan panggilan mesra kepada seorang kakak.

“Beliau meninggalkan sebuah lompong besar dalam negara kita dan kedudukan itu sukar ditukar ganti. Generasi yang datang akan mengingatinya sebagai seorang yang teguh mempertahankan budaya India, dengan suara merdunya yang tiada tolok banding dan memukau orang ramai.”

Dilahirkan pada tahun 1929 di India sebelum merdeka, Mangeshkar memulakan karier nyanyian seawal usia remaja, sepanjang 73 tahun kariernya, dianggarkan lebih dari 15,000 lagu telah dinyanyikan beliau dalam 36 bahasa.

Mangeshkar juga turut memukau rakyat India yang sangat menggemari muzik dengan suara merdu dan rangkaian lagu-lagunya, beliau menyanyikan pelbagai tema lagu termasuk lagu patriotik dan romantik, baik dalam filem mahupun album.

Dunia Bollywood sentiasa menyelitkan lagu dalam filem keluarannya di mana kisah percintaan dan kesedihan akan diceritakan dengan bantuan balada lagu – dalam dunia glamor itu, Mangeshkar menempa namanya dalam bidang nyanyian.

Selain Modi, personaliti Bollywood dan ahli politik lain turut mengucapkan takziah.

“Kasih sayang, penghormatan dan doa buat beliau,” ciap pencipta lagu dan pemenang Anugerah Oscar dan Grammy AR Rahman di mana Mangeshkar merupakan penyanyi lagu-lagunya.

Dilatih secara klasik, Mangeshkar membentuk suaranya mengikut tuntutan nyanyian bagi dimuatkan dalam filem-filem Bollywood, beliau bahkan menyanyikan lagu untuk seorang pelakon berusia 20-an ketika usianya sendiri menjangkau 60 tahun.

Nyanyian beliau turut memberikan motivasi kepada jutaan rakyat India sepanjang perang negara itu dengan China dan Pakistan di mana lagu-lagunya memberikan penghormatan kepada pasukan pertahanan negara itu.

Selain itu, beberapa lagu nyanyiannya turut berkumandang sebagai doa di kuil dan sekolah.

“Suara saya adalah anugerah daripada Tuhan,” katanya dalam satu temu bual.

“Saya belajar untuk melahirkan emosi melalui suara saya. Apabila saya menyanyikan lagu menenangkan, saya akan menjadi seorang ibu, apabila menyanyikan lagu romantik, saya akan menjadi seorang kekasih.”

Satu-satunya tema lagu yang enggan beliau nyanyikan ialah lagu kabaret dan lagu-lagu yang mempunyai lirik jijik atau lucah, mengatakan lagu sedemikian tidak sesuai dengan nilai peribadinya.

Nyanyian Mangeshkar mendominasi industri filem Hindi selama hampir lima dekad sehingga tahun 2000-an, bersama adik perempuannya Asha Bhosle.

Bagaimanapun, Mangeshkar juga tidak lepas daripada kritikan, pengkritiknya sering melemparkan tuduhan bahawa beliau menggunakan pengaruhnya dalam dunia Bollywood untuk mengehadkan kemasukan pendatang baru dalam bidang seni suara.

Pengaruh beliau yang sangat besar di India juga turut pernah menyaksikan pihak berkuasa Mumbai pada 2006 membatalkan projek lebuh raya bertingkat yang telah dirancang selepas beliau membantah projek tersebut mengatakan ia akan mengganggu privasi.

Terkenal dengan penampilan yang sering mengenakan sari dan rambutnya yang bersanggul, Mangeshkar menerima anugerah Bharat Ratna, sebuah anugerah tertinggi di negara itu pada 2001.

Beliau juga turut dianugerahkan anugerah tertinggi Perancis, Legion of Honour pada 2009.

“Muzik tidak akan sempurna tanpa suaramu,” kata aktor Amitabh Bachchan mengenai Mangeshkar pada 2019 ketika meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-90.