Thursday, May 19, 2022

PAS nafi tolak tawaran, tegaskan belum ada rundingan pengagihan kerusi bersama Umno

Ketika ini, PAS lebih tertarik dengan tawaran Bersatu yang dikatakan menawarkan lebih banyak kerusi pada PRN Johor akan datang.

Other News

PAS menafikan dakwaan kononnya parti itu menolak tawaran kerusi oleh Umno kerana lebih tertarik dengan tawaran Bersatu yang dikatakan menawarkan lebih banyak kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata setakat ini, belum ada rundingan atau perbincangan dibuat bersama Umno Johor berhubung pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apatah lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebagai rakan dalam Muafakat Nasional (MN), PAS Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuh permuafakatan ini.

“PAS Johor menyeru dan berharap apa jua isu berbangkit dapat diperbincang secara ukhuwah melalui rundingan agar hubungan yang terbina akan terus terjaga,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi mengelakkan salah faham, andaian dan laporan yang mengelirukan di media sosial.

“PAS Johor juga menafikan keterlibatan dengan menyokong calon Berjasa dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai (pada 2019) bahkan jentera PAS Johor digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon Barisan Nasional daripada MCA ketika itu.

“Justeru, PAS Johor sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha ke arah memperkukuh permuafakatan ini demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Abdullah berkata demikian ketika mengulas video tular baru-baru ini yang memaparkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Hasni Mohamad mempersoal kejujuran PAS dalam MN selepas parti itu didakwa menolak tawaran empat kerusi daripada Umno dan dikatakan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada Bersatu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles