- Iklan -
Berita

Pemuda Umno nafi tamak kuasa, jaga kluster mahkamah di sebalik PRN Johor

Pemuda Umno berkata keputusan untuk mengadakan pilihan raya negeri adalah bagi mendapatkan mandat baru daripada rakyat Johor.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bendera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2020.
Bendera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2020.

Keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukanlah kerana tamakkan kuasa atau menjaga kluster mahkamah seperti didakwa sesetengah pemimpin politik.

Sebaliknya, Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata dengan mengadakan PRN, ia adalah satu usaha demokrasi yang diperlukan bagi mencari sebuah kerajaan kukuh untuk terus mentadbir negeri.

Beliau berkata mandat baru daripada rakyat di negeri ini adalah satu keperluan berikutan kedudukan kerajaan negeri yang tidak stabil dan bergerak atas “ihsan pembangkang”.

Menurut beliau, realiti tersebut harus diterima semua pihak dan tidak sepatutnya berlaku di negeri yang memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kuat demi memastikan perancangan di negeri selatan tanah air itu dapat dipergiatkan dan berjalan lancar.

“Contoh diberikan Pengerusi Perhubungan Umno Johor Hasni Mohammad adalah satu daripada situasi menunjukkan dengan jelas kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil, iaitu insiden pembangkang Johor membawa rundingan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) pada sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) Johor selepas Bajet Johor 2022 dibentangkan, November tahun lepas.

“Undian dilakukan menerusi rundingan itu membawa kepada keputusan seri 27 sama selepas undian di DUN dilakukan. Namun, Speaker DUN Suhaizan Kaiat memutuskan untuk berpihak kepada kerajaan menjadikan keputusan undian 28-27 bagi membolehkan kerajaan Johor tidak tergantung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hairi berkata pihaknya sedar rakyat kini masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan sesetengahnya sedang mengharungi situasi pascabanjir yang menyukarkan, namun sebagai sebuah parti politik, kesedaran untuk mendapatkan kerajaan stabil juga penting bagi memastikan segala bentuk bantuan dan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dapat direncana dengan berkesan.

Semalam, Hasni yang juga Menteri Besar Johor berkata Barisan Nasional memerlukan mandat baru daripada rakyat bagi meneruskan program-program rakyat memandangkan majoriti tipis telah menyebabkan kerajaan negeri berjalan berdasarkan “ihsan pembangkang”.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri semalam bagi memberi laluan untuk PRN diadakan.