Thursday, May 19, 2022

Seluruh negara bimbang berhubung kesihatan Dr Mahathir

Sejak Disember, ini merupakan kali ketiga Mahathir dimasukkan ke IJN.

Other News

Wujud kebimbangan di seluruh negara sejak berita beredar mengatakan Dr Mahathir Mohamad kembali dimasukkan ke hospital, lebih dari seminggu selepas menjalani prosedur perubatan elektif.

Berita yang beredar tersebut turut mendorong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melawat Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN), di mana beliau turut bertemu dengan Dr Siti Hasmah Ali, isteri pemimpin veteran itu.

Warga Malaysia menerima khabar angin dan spekulasi mengenai kesihatan pemimpin berusia 96 tahun itu, selepas seorang pembantu Mahathir berkata sebuah kenyataan sedang disediakan bagi memaklumkan maklumat terkini mengenai keadaan kesihatan bekas perdana menteri itu.

Sejak Disember, ini merupakan kali ketiga Mahathir dimasukkan ke IJN.

Doktor yang merawat Mahathir berkata mereka sedang menjalankan pemeriksaan kesihatannya.

Mahathir merupakan seorang pemimpin yang sering tampil bertenaga walaupun sudah berusia emas.

Bagaimanapun, beliau adalah pesakit yang biasa dimasukkan ke IJN, di mana beliau menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2007 selepas mengalami dua serangan jantung pada tahun sebelumnya.

Awal hari ini, pembantunya Sufi Yusof memberitahu media satu kenyataan berhubung keadaan kesihatannya akan dikeluarkan sama ada oleh IJN atau ahli keluarganya.

Pengumuman itu juga turut mencetuskan spekulasi sehingga menyebabkan Sufi memberikan satu lagi mesej yang merayu kepada wartawan supaya bersabar, sambil menambah terdapat sensitiviti mengenai perkara itu.

“Saya melakukan yang terbaik untuk selesaikan isu-isu itu supaya kami boleh memberikan gambaran yang jelas dan tepat mengenai situasi (Dr Mahathir),” katanya ketika menjawab pertanyaan wartawan.

Selama 22 tahun penggal pertama beliau sebagai perdana menteri, negara menyaksikan transformasi ekonomi dan sosial disebabkan pelbagai dasar yang beliau perkenalkan, di mana ia menerima pujian mahupun kritikan dari seluruh dunia.

Semasa penggal keduanya yang singkat, beliau meletakkan jawatan perdana menteri berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan, sebuah gabungan terdiri daripada musuh tradisi politiknya yang dilihat menumpang populariti beliau bagi mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum 2018.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles