- Iklan -
Berita

Dos penggalak lanjutan tidak berdaya maju, kata WHO

WHO menggesa usaha kembangkan vaksin yang dapat mengurangkan keperluan dos vaksin penggalak berulang kali.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan Pusat Perubatan Ara Damansara memasukkan vaksin Sinovac ke dalam picagari di Menara Sime Darby Plantation, Subang.
Petugas kesihatan Pusat Perubatan Ara Damansara memasukkan vaksin Sinovac ke dalam picagari di Menara Sime Darby Plantation, Subang.

Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pemberian dos penggalak Covid-19 secara berulang bukanlah strategi berdaya maju dalam menangani kemunculan varian baru bagi perlindungan lebih baik terhadap jangkitan.

Kumpulan pakar yang diwujudkan oleh WHO itu bagi menilai prestasi vaksin Covid-19 itu berkata pemberian suntikan baru vaksin Covid-19 sedia ada ke atas varian baru bukanlah cara terbaik untuk melawan wabak berkenaan.

“Strategi vaksinasi dengan dos penggalak berulang bagi komposisi vaksin asal tidak mungkin sesuai atau mampan,” kata Kumpulan Penasihat Teknikal WHO mengenai Komposisi Vaksin Covid-19 (TAG-Co-VAC) dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu juga berkata terdapat keperluan untuk mengemas kini vaksin sedia ada untuk menangani varian Covid baru seperti Omicron yang kini merebak pantas dan setakat ini telah dikesan di 149 negara.

Kumpulan itu turut menggesa pembangunan suntikan vaksin baru yang bukan sahaja dapat melindungi orang ramai daripada mengalami ketenatan Covid bahkan dapat mencegah daripada dijangkiti virus itu.

Dengan kewujudan vaksin sedemikian, katanya, ia akan membantu menurunkan “penularan komuniti dan keperluan untuk melaksankan langkah kesihatan diambil selain langkah sosial awam yang ketat dan meluas.”

Ia juga mencadangkan pembangunan vaksin baru itu harus berusaha untuk mencipta dos yang “menimbulkan tindak balas imun yang luas, kuat dan tahan lama bagi mengurangkan keperluan untuk dos penggalak berturut-turut”.

“Vaksin Covid-19 mempunyai impak tinggi terhadap pencegahan jangkitan dan penularan, di samping pencegahan penyakit teruk dan kematian, diperlukan dan harus dibangunkan,” kata TAG-Co-VAC.

“Sehingga vaksin sedemikian tersedia dan apabila virus SARS-CoV-2 berkembang, komposisi vaksin Covid-19 sedia ada mungkin perlu dikemas kini untuk memastikan ia terus menyediakan tahap perlindungan yang disyorkan WHO terhadap jangkitan dan penyakit mengikut varian kebimbangan (VOC), termasuk Omicron dan varian masa hadapan.”