- Iklan -
Berita

Mangsa banjir di Johor, Melaka terus meningkat

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah tidak banyak berubah berbanding semalam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi

Jumlah mangsa banjir di Johor dan Melaka pagi ini merekodkan peningkatan manakala jumlah di lima negeri lain iaitu Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah tidak banyak berubah berbanding semalam.

Selain itu, kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat 7 pagi tadi juga menyaksikan sebanyak sembilan sungai di negeri terjejas banjir merekodkan paras bahaya melibatkan tiga sungai di Pahang, Johor (tiga), Negeri Sembilan (satu) dan Melaka (dua).

Di Johor, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 5,479 orang pagi ini berbanding 4,737 orang semalam di tujuh daerah yang terjejas banjir, dengan Segamat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,016 orang diikuti Mersing (548 orang), Tangkak (434), Kota Tinggi (210), Batu Pahat (107), Kluang (106) dan Muar (58).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka pada lewat malam tadi dan awal pagi ini di Mersing, Batu Pahat, Muar dan Tangkak menjadikan jumlah keseluruhan 78 PPS yang menempatkan 1,486 keluarga telah dibuka di seluruh negeri.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,674 orang setakat 8 pagi berbanding 2,591 mangsa semalam dengan 994 mangsa ditempatkan di sembilan PPS di Alor Gajah manakala 1,425 orang di sembilan PPS di Melaka Tengah dan 255 orang di empat PPS di Jasin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 11 kawasan di Jasin.

Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan terdapat sedikit penambahan jumlah mangsa iaitu kepada 19 orang berbanding 10 mangsa malam tadi dengan pembukaan satu lagi PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Kemaman, susulan kediaman dinaiki air.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan seramai 2,564 mangsa banjir masih berada di 46 PPS pagi ini yang dibuka di Kuantan, Rompin, Raub, Jerantut, Lipis, Bera, Maran, Temerloh dan Pekan.

Selain itu, sebanyak 17 jalan ditutup melibatkan tujuh daerah antaranya Jalan Bohor Baru dan Jalan Kemayan-Tembangau di Bera, Jalan Kampung Wau/Kertau, Jalan Serengkam (Maran); Jalan Kampung Aur, Jalan Kampung Lubuk Batu (Rompin); Jalan Mentiga Terapai, Jalan Pelak-Belimbing (Pekan); Jalan Pulau Tawar-Durian Hijau, Jalan Batu Embun-Tebing Tinggi (Jerantut) dan Jalan Air Hitam (Kuantan).

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa menurun kepada 1,795 individu membabitkan 498 keluarga dengan 21 PPS dibuka berbanding 1,967 individu daripada 540 keluarga, malam tadi.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di daerah Kuala Langat tidak berubah iaitu seramai 40 orang dengan 25 daripadanya ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang manakala 15 mangsa di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir pula tidak banyak berubah dengan 3,310 mangsa direkodkan pagi ini yang ditempatkan di 30 PPS, berbanding 3,329 orang malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan daerah Kota Marudu kekal dengan mangsa banjir paling ramai iaitu 2,653 individu, diikuti Pitas 296 mangsa, Telupid (172), daerah kecil Paitan (102), Sandakan (46) dan Beluran (41).