- Iklan -
Berita

Lebih 2.75 juta populasi remaja lengkap divaksinasi

Sementara itu, lebih 22.8 juta populasi dewasa telah lengkap divaksin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pelajar sekolah menunggu giliran vaksinasi di Putrajaya dalam program imunisasi remaja yang dilancarkan September tahun lalu. Gambar: Reuters
Pelajar sekolah menunggu giliran vaksinasi di Putrajaya dalam program imunisasi remaja yang dilancarkan September tahun lalu. Gambar: Reuters

Sebanyak 2,756,810 individu atau 87.6% daripada populasi remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data kementerian kesihatan (KKM) melalui laman CovidNow, seramai 2,848,312 individu atau 90.5% daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa pula, sebanyak 22,860,910 individu atau 97.7% telah melengkapkan dos vaksin mereka, manakala 23,152,917 individu atau 98.9% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, statistik harian menunjukkan sejumlah 94,040 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 1,264 dos pertama, 1,340 dos lengkap dan 91,436 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 57,841,435 dos dengan 6,422,084 daripadanya adalah dos penggalak.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, sebanyak 19 kes kematian telah direkodkan semalam.

Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi sebanyak lima kes, diikuti Terengganu (empat), Johor (tiga), Sabah (dua) dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.