- Iklan -
Berita

Jutaan buku rosak disebabkan banjir

Walaupun kebanyakan buku itu dihantar ke pusat kitar semula, namun ia tetap menyayat hati pengasas BookXcess, Andrew Yap.

Danisyah Dalily
3 minit bacaan
Kongsi
Sebuah jentera berat melakukan kerja pembersihan buku yang rosak akibat  banjir di gudang Book Xcess, Seksyen 33, Shah Alam.
Sebuah jentera berat melakukan kerja pembersihan buku yang rosak akibat banjir di gudang Book Xcess, Seksyen 33, Shah Alam.

Ketika negara sedang bergelut dalam usaha menangani situasi selepas banjir yang disifatkan paling besar selain amaran bencana itu yang diramal akan berlaku, senarai kerugian dan kerosakan akibatnya terus meningkat.

Kerugian tersebut termasuklah jutaan buku yang disimpan dalam sebuah gudang di Shah Alam, salah satu kawasan yang paling teruk dilanda banjir sehingga mengejutkan kerajaan negeri.

Andrew Yap yang merupakan pengasas bersama BookXcess mengatakan 3.5 juta bukunya rosak akibat banjir – lebih banyak dari dua hingga tiga juta yang dianggarkan sebelum ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow di gudang berukuran 200,000 kaki persegi yang terletak di Seksyen 33, Taman Alam Indah, Yap berkata kakitangannya mengambil masa untuk “benar-benar meneliti” kerosakan yang ditanggungnya sepanjang bencana banjir itu.

“Kita perlu kira semua buku, barulah boleh tahu berapa kerugian secara keseluruhannya,” katanya.

Temubual pemilik BookXcess Sdn Bhd, Andrew Yap berkaitan jutaan buah buku yang rosak akibat banjir di Shah Alam.

Namun bukan sekadar buku yang rosak, aset-aset seperti jentera pengangkut barang, rak dan mesin pembungkusan syarikat itu juga turut mengalami kerosakan selepas gudangnya ditenggelami air.

“Semua itu adalah mesin kami yang paling penting,” kata Yap yang ditemani isterinya, Jacqueline Ng yang merupakan orang belakang tabir pesta buku popular Big Bad Wolf.

“Kami tak boleh hantar buku tanpa membungkusnya.”

Yap berkata mereka perlu menunggu lagi tiga minggu atau lebih sebelum lebih banyak mesin sampai selain turut menambah operasi syarikat itu pada ketika ini lumpuh.

Di luar gudang itu, beberapa timbunan buku yang rosak semakin tinggi seakan bukit apabila buku-buku yang terkena banjir dikumpulkan.

Ada juga timbunan yang tidak seimbang menunggu jatuh, ia membukit sehingga melepasi pagar gudang.

Kelihatan beberapa orang kanak-kanak bermain di celah timbunan buku seakan mencari harta karun, mungkin ada “yang masih elok” menurut mereka.

Seorang lelaki memilih buku di longgokan buku rosak akibat banjir di gudang Book Xcess Seksyen 33, Shah Alam.

Kebanyakannya adalah dari kawasan kejiranan sekitar gudang, termasuk pangsapuri kos rendah berdekatan.

“Komuniti di sana juga sangat teruk terkesan dengan banjir ini,” kata Yap.

“Mereka kata ada beberapa buku yang masih boleh digunakan, dan mereka minta pada saya untuk ambil. Kami tak boleh nak kata jangan ambil pada mereka, jadi kami benarkan ambil buku yang mereka mahu.

“Kami tak larang mereka, namun ingatkan supaya bersihkan dulu buku-buku itu sebelum guna,” tambahnya.

Namun di sebalik kegembiraan kanak-kanak yang mencari harta karun di gudang itu, hakikatnya kebanyakan buku itu tidak lagi boleh dibaiki.

Malahan, buku-buku yang tidak terkena air banjir juga turut rosak akibat kadar kelembapan yang meningkat dalam gudang ekoran bencana banjir.

“Kelembapan normal adalah 30%, namun nampaknya kelembapan dalam gudang kami kini meningkat sehingga 70% atau 89%,” kata Yap.

“Kerana itulah kami buang buku-buku yang terjejas kerana jika kami simpan dalam gudang kadar kelembapan akan meningkat.”

Pekerja BookXcess menyusun semula buku di gudang selepas selesai membersihkan kawasan yang dilanda banjir sehingga mengakibatkan jutaan buku rosak di Seksyen 33, Shah Alam.

Ketika banjir, air menenggelami gudang itu kira-kira lima kaki, namun buku yang disimpan pada ketinggian 10 kaki turut terjejas.

“Buku yang tidak dibungkus dengan plastik kedap udara memang terjejas. Kami terpaksa buang juga,” katanya.

Walaupun keputusan itu sangat berat, ia terpaksa diambil kerana mahu mengelak daripada bahayanya terhadap kesihatan ekoran air kotor banjir.

Proses pembersihan masih berjalan sejak dua minggu lalu dan dijangka akan mengambil masa dua minggu lagi.

12 hari selepas banjir, gudang itu masih tidak menerima bekalan elektrik memaksa mereka untuk menggunakan generator bagi membersihkan kawasan.

Tidak mahu buku-buku itu dibazirkan, mereka mengatur agar buku yang rosak dihantar ke pusat kitar semula bagi memberikan “hidup baru” kepada buku-buku itu dalam bentuk berbeza.

Namun, bagi Yap, hatinya sedih melihat jutaan buku rosak sedemikian rupa.

“Kami ada hubungan emosi dengan buku, dan kami dapat kenal pasti setiap buku-buku yang rosak.

“Setiap buku itu mempunyai pengaruh besar. Ia beri kita ilmu pengetahuan, dan bahkan 3.5 juta buku itu mungkin boleh sahaja ditempatkan dalam rumah seseorang. Ia boleh berikan kegembiraan kepada orang lain – namun sekarang ini, kami dah tak dapat lakukannya lagi.”