- Iklan -
Berita

Mangsa banjir di 3 negeri semakin berkurangan

Pahang mencatat rekod jumlah mangsa banjir di PPS paling ramai dengan hampir 6,000 mangsa masihtidak dapat pulang ke rumah masing-masing.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja kontraktor lantikan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan banjir yang memusnahkan beberapa harta benda awam dan kediaman di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.
Pekerja kontraktor lantikan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan banjir yang memusnahkan beberapa harta benda awam dan kediaman di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat.

Jumlah mangsa banjir di Pahang, Kelantan dan Selangor terus mencatatkan pengurangan malam tadi.

Di Pahang, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan seramai 5,987 mangsa masih berada di 44 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah iaitu Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan, berbanding 6,351 di 48 PPS petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang pula melaporkan hanya enam lokasi jalan masih ditutup iaitu Jalan Kuala Lumpur-Kuantan di Maran, Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut), Jalan Ulu Dong (Raub) dan Jalan Southern Loop (Bentong).

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM juga melaporkan sedikit pengurangan jumlah mangsa kepada 2,281 individu malam tadi berbanding 2,285 di 13 PPS di sebelah petang.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir turut mencatatkan penurunan setakat 9 malam ini, dengan 31 orang daripada lima keluarga berbanding 42 orang dari lapan keluarga petang tadi yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas.

Di Negeri Sembilan, data terkini aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa di sebuah PPS di Jelebu kekal 29 orang dari sembilan keluarga.

Melaka turut menunjukkan trend serupa dengan masih kekal dengan 26 mangsa daripada lapan keluarga setakat 8 malam ini yang masih ditempatkan di PPS SK Penghulu Benteng, Jasin.