Thursday, January 27, 2022

Selangor tarik balik tauliah aktivis politik mengajar agama Islam

Penarikan tauliah kepada akan berkuat kuasa 31 Disember ini.

Other News

Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menyemak dan menarik balik tauliah mengajar agama Islam di Selangor, yang diberikan kepada mana-mana aktivis politik, kata Pengerusi Mais Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata ia selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan supaya tauliah mengajar agama Islam di negeri itu yang diberikan kepada mana-mana aktivis politik, ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember ini.

Bagaimanapun menurutnya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam, dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

Beliau berkata Sultan Sharafuddin menitahkan agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak di negeri ini khususnya di masjid dan surau.

“Bagi menjaga kesucian agama Islam di Selangor, baginda tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalah guna untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam serta mencemarkan agama Islam di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen sama.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikai titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik, juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles