- Iklan -
Berita

Sesi persekolahan penggal 3 ditangguh seminggu

Keputusan itu diambil berikutan banjir yang melanda negara turut menjejaskan guru dan murid di seluruh negara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penggal 3 bagi 2021-2022 ditangguhkan seminggu berikutan banjir yang melanda negara.
Penggal 3 bagi 2021-2022 ditangguhkan seminggu berikutan banjir yang melanda negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan sesi persekolahan yang sepatutnya bermula pada 3 dan 4 Januari tahun depan ditangguhkan selama seminggu berikutan banjir melanda negara.

Menurut menterinya, Radzi Jidin keputusan tersebut diambil susulan situasi banjir di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa, guru dan sekolah yang terlibat banjir.

“Mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa dan guru-guru sama ada secara langsung atau tidak langsung, juga melibatkan sekolah-sekolah sama ada sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ataupun sekolah yang terjejas teruk.

“Maknanya sesi sekolah akan bermula pada 9 Januari 2022 bagi negeri kumpulan A, dan 10 Jan 22 bagi kumpulan B,” katanya.

Pengumuman itu dibuat melalui klip video pendek yang dimuat naik di Facebook.

Terdahulu sekolah yang berada dalam Kumpulan A melibatkan negeri yang cuti hujung minggunya jatuh pada Jumaat dan Sabtu, iaitu Johor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Sekolah Kumpulan B pula melibatkan Perlis, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Radzi turut berkata, situasi negara sekarang dalam keadaan amat sukar bagi semua pihak.

“KPM memahami bahawa mereka memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum dapat mulakan sesi persekolah penggal ketiga.

“Kita doakan yang terbaik untuk mangsa banjir di seluruh negara dan insya-Allah sebarang keputusan dibuat KPM akan sentiasa mengambil berat kebajikan murid, ibu bapa dan guru,” katanya.