- Iklan -
Berita

Kedai cuci kereta, bengkel motorsikal tawar bantuan percuma bagi mangsa banjir

Walaupun tidak mampu menghulurkan bantuan kewangan, mereka gembira dapat tawarkan perkhidmatan kepada pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir.

Danisyah Dalily
2 minit bacaan
Kongsi
Emily Workshop memberikan khidmat baiki motorsikal percuma kepada mangsa banjir.
Emily Workshop memberikan khidmat baiki motorsikal percuma kepada mangsa banjir.

Banjir yang menyebabkan puluhan ribu warga kehilangan tempat tinggal di beberapa negeri termasuk Selangor menarik bantuan ramai pihak, dengan perniagaan tempatan di sekitar Lembah Klang menghulurkan derma selain menyediakan pekhidmatan secara percuma kepada mangsa.

Antara penghulur bantuan itu adalah Emily Motorworks di mana pemiliknya kini sibuk membaiki motorsikal yang rosak akibat banjir secara percuma.

“Sesiapa yang motorsikalnya rosak kena banjir boleh hantar ke bengkel kami,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kami sediakan perkhidmatan percuma.

“Untuk ambil motorsikal pun boleh, tanpa sebarang bayaran tambahan.”

Emily Motorworks mempunyai dua cawangan, satu di Glenmarie, Shah Alam, satu lagi cawangan di Sungai Chua, Kajang.

Dengan dua cawangan itu, mereka dapat menyediakan perkhidmatan di sekitar Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Kuala Lumpur.

Setakat semalam, mereka menerima dan mengambil hampir 40 motorsikal yang rosak akibat banjir.

Afzan berkata beliau mula membaiki motorsikal secara percuma pada Selasa lalu, namun kerja-kerja membaiki semakin bertambah pada Rabu selepas paras air banjir semakin menurun.

Afzan mengatakan dia sangat tahu bagaimana keadaan hidup dalam kesukaran.

“Sebelum ini saya pernah berada dalam situasi susah, kakitangan saya pun sama. Kerana itu kami putuskan untuk berikan khidmat percuma dan bantu seramai mungkin mangsa banjir.”

Azim yang merupakan pemilik perniagaan cuci kereta, Aesthetic Detailer yang berpangkalan di Bukit Jelutong juga turut menyediakan khidmat percuma kepada mangsa yang memerlukan.

“Jika kereta tenggelam bawah paras tempat duduk, kami berikan perkhidmatan secara percuma,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kami juga menawarkan khidmat cuci kereta, enjin dan dashboard.”

Bagaimanapun, untuk kereta yang tenggelam penuh dalam banjir, mereka perlu membayar RM100, “namun perkhidmatan lain semuanya percuma,” tambahnya.

Azim baru sahaja memulakan perniagaan cuci keretanya kurang sebulan sebelum banjir besar berlaku di Selangor.

“Kami sebetulnya merancang untuk buka kedai waktu ini.

“Namun banjir pula berlaku, jadi saya beritahu kakitangan saya untuk perlahankan perniagaan buat sementara bagi membolehkan aktiviti bantu mangsa banjir setakat yang kami mampu lakukan.

“Kami tak dapat bantu berikan wang, tetapi kami boleh tawarkan perkhidmatan kami,” tambahnya.

Azim dan dua lagi kakitangannya bekerja keras sejak Isnin lalu.

Mereka menyasarkan 25 buah kereta atau lebih dapat dicuci minggu ini.

“Saya bukan datang dari keluarga kaya, jadi saya faham tidak ramai orang yang mampu keluarkan ratusan ringgit untuk bersihkan kereta.

“Kami tak dapat buat banyak, namun kami harap ini dapat ringankan beban mereka,” katanya.

Azim boleh dihubungi di talian 014-223 6045 sementara Afzan boleh dihubungi di talian 018-363 0946.