- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Kuala Selangor dimarahi mangsa banjir

Kejadian berlaku ketika Dzulkefly Ahmad hadir ke PPS di SMK Bukit Kuching dipercayai untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasannya.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad ketika melawat mangsa banjir di PPS kawasannya.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad ketika melawat mangsa banjir di PPS kawasannya.

Seorang individu yang dipercayai merupakan mangsa banjir memarahi Ahli Parlimen Kuala Selangor Dzulkefly Ahmad selepas beliau didakwa tiba lewat dalam usaha membantu penduduk yang terjejas di kawasannya.

Insiden yang berlaku di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kucing pada Isnin lalu itu turut dirakam dan tular di media sosial, klip rakaman itu memaparkan seorang individu meluahkan rasa tidak puas hati ketika Dzulkefly tiba di PPS tersebut.

Menerusi video berdurasi empat minit itu, kedengaran suara lelaki tersebut memarahi seorang individu yang cuba menenangkan keadaan, malah dia turut mempersoalkan mengapa bantuan lambat tiba ke kawasan itu.

Sementara itu, seorang sumber mengakui Dzulkefly sememangnya berada di lokasi tersebut ketika insiden tersebut berlaku dan dikatakan hanya membiarkan individu itu melepaskan “geram” kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

“Insiden itu memang berlaku dan lelaki itu bukan sahaja marah dekat Dzulkefly tetapi juga pada sesiapa yang berada dekat dengannya,” kata sumber ketika dihubungi MalaysiaNow.

“Namun begitu, kami hanya biarkan sahaja sebab tak mahu situasi bertambah buruk. Yang penting kita buat kerja.”

Dalam pada itu, sumber menafikan dakwaan yang mengatakan bekas menteri kesihatan itu lewat menghulurkan bantuan kepada mangsa ketika kawasan Parlimen itu dilanda banjir.

Katanya, pejabat Parlimen Kuala Selangor sudah digerakkan untuk membantu mangsa terjejas sejak malam pertama banjir, dan menambah individu tersebut mungkin marah disebabkan bantuan tidak sampai kepadanya.

“Terdapat 3 DUN di kawasan Kuala Selangor, jadi kawasan ini sangat besar. Yang tahu Dzulkefly buat kerja, mereka tahulah.

“Kalau tak percaya, boleh tanya mereka yang menjaga PPS atau rujuk dalam Facebook Parlimen Kuala Selangor untuk melihat pergerakan bantuan misi banjir,” jelasnya.

Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari bermula Jumaat lalu menyaksikan 8 negeri termasuk Selangor terjejas teruk apabila kebanyakan kawasan dinaiki air.

Beberapa kawasan di Selangor turut lumpuh apabila air banjir dilaporkan meningkat sehingga paras bumbung rumah menyebabkan ramai penduduk terkandas dan terpaksa bermalam di atas bumbung.

Kejadian banjir yang disifatkan antara yang terburuk pernah direkodkan dalam negara itu juga telah meragut 37 nyawa manakala puluhan ribu rakyat mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.