- Iklan -
Berita

Proses sedut keluar air banjir di Sri Muda dijangka selesai hari ini

80% air banjir disedut keluar ke Sungai Klang semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana banjir di Sri Muda, Shah Alam. Selangor menjadi negeri yang paling teruk terjejas selain merekodkan mangsa korban paling ramai setakat ini.
Suasana banjir di Sri Muda, Shah Alam. Selangor menjadi negeri yang paling teruk terjejas selain merekodkan mangsa korban paling ramai setakat ini.

Proses menyedut keluar air banjir di kawasan Taman Sri Muda dijangka selesai hari ini selepas 80% air banjir di kawasan berkenaan berjaya dikeluarkan dan disalurkan ke Sungai Klang semalam.

“Jika 80% boleh selesai dalam 17 jam (hari ini) dan baki 20% kalau ikut logik pagi esok boleh diselesaikan jika tidak hujan,” kataMenteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abd Latiff Ahmad pada sidang media berhubung keadaan semasa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 semalam.

Beliau berkata terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi proses tersebut, selain cuaca antaranya dengan mengambil kira keadaan air pasang surut.

“Selain itu kita sedut dan keluarkan air itu ke kawasan yang tidak banjir di kawasan terbuka seperti di atas jalan,” katanya sambil menambah 24 pam penyedut air digunakan dan ditempatkan di empat lokasi di kawasan berkenaan.

Bagi membantu kelancaran proses air banjir dihalakan ke sungai, beliau berkata kerja-kerja menebuk benteng dilakukan jabatan pengairan dan saliran (JPS).

Katanya Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut membantu membekalkan tenaga elektrik dengan menggunakan set penjana elektrik, ekoran bekalan elektrik yang terputus akibat banjir di kawasan tersebut.