Wednesday, January 19, 2022

KKM jangka kes positif Covid meningkat di PPS

Keadaan PPS dianggap berisiko tinggi kerana langkah dan pematuhan kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya ketika berdepan musibah banjir.

Other News

Kementerian kesihatan (KKM) menjangka peningkatan kes positif Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara, susulan bencana banjir yang berlaku di Malaysia ketika ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ini berikutan keadaan PPS yang dianggap berisiko tinggi serta langkah dan pematuhan kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya ketika berdepan musibah banjir.

“Dalam kita menyelamat mangsa banjir ini, keutamaan adalah untuk menyelamatkan mereka dan kadang kala memang tak dapat elakkan beberapa perkara yang sepatutnya dibuat dalam langkah kesihatan awam tidak dapat dipatuhi,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Khairy berkata sehingga 11 pagi tadi, 181 kes dikesan positif Covid-19 di PPS seluruh negara melibatkan 117 kes di Selangor, Pahang (52), Kelantan (enam), Kuala Lumpur (empat) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

Hasil saringan di PPS itu juga mendapati kebanyakan kes adalah daripada kategori satu dan dua dengan kesemua mereka dipindahkan ke hospital, Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan yang ditentukan iaitu PPS khusus untuk mereka yang mempunyai kes Covid-19.

Menurut Khairy, KKM juga mengenal pasti 206 mangsa banjir sebagai kontak rapat dan mereka juga telah dipindahkan ke PPS yang khusus serta hospital.

Bagi menghadapi pertambahan kes Covid-19, Khairy berkata sistem kesihatan awam telah disiap sedia untuk menerima lebih ramai pesakit disebabkan musibah banjir yang melanda ini.

“Kita akan tambah bilangan pasukan KKM di lapangan. Kita akan teruskan dengan saringan-saringan di PPS supaya kita dapat kenal pasti mereka yang positif Covid-19 dan mereka diasingkan dan kontak rapat mereka juga telah dikenal pasti dan diasingkan,” katanya.

Selain itu, bekalan pelitup muka, cecair sanitasi tangan dan pelbagai keperluan lain juga telah dihantar ke semua PPS sejak dua hari lepas.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles