Friday, January 21, 2022

Pakar keselamatan jalan raya beri amaran berhubung ‘budaya diskaun’ saman trafik

Mereka berkata tawaran itu tidak memberikan sebarang kesan untuk tambah baik keselamatan jalan raya bagi jangka masa panjang.

Other News

Pakar keselamatan jalan raya mempersoalkan tindakan kerajaan baru-baru ini yang menawarkan diskaun tinggi bagi saman trafik sempena 100 hari “Keluarga Malaysia”, mengingatkan ia tidak akan memberikan kesan dalam menambah baik keselamatan jalan raya dalam jangka masa panjang.

Tawaran sehingga 80% bagi beberapa saman yang dikeluarkan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu menyaksikan ramai membanjiri balai polis dan pusat pembayaran bagi mendapatkan diskaun tersebut.

Tawaran yang pada awalnya hanya sah untuk empat hari dilanjutkan sehingga akhir tahun susulan maklum balas yang memberangsangkan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya di UPM Law Teik Hua berkata peraturan trafik sahaja tidak cukup untuk menangani masalah keselamatan jalan raya.

“Saya cadangkan kita henti berikan tawaran istimewa atau diskaun bagi saman trafik,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Tindakan yang lebih keras harus diambil terhadap pemandu tidak berhemah.”

Menurutnya, langkah-langkah boleh dilaksanakan seperti meningkatkan kadar bagi pembayaran lewat, membawa pelaku kesalahan ke mahkamah, menyenarai hitam dan menyekat lesen mereka untuk diperbaharui.

Walaupun angka kematian akibat kemalangan semakin berkurangan, namun keselamatan jalan raya di Malaysia masih kekal menjadi isu.

Pada Februari, kementerian pengangkutan berkata 6,167 kematian dilaporkan pada 2019, ia menurun dari 7,152 kes pada 2016.

Sementara itu, secara purata, setengah juta kes kemalangan jalan raya dilaporkan kepada polis setiap tahun dari 2010 hingga 2019.

Tawaran diskaun sama seperti apa yang dilaksanakan semepan 100 hari Keluarga Malaysia itu bukan satu perkara yang baru di negara ini.

Pada Mac lalu, polis menawarkan 50% diskaun pembayaran saman secara dalam talian sempena Hari Polis.

Sebulan selepasnya, JPJ menawarkan diskaun 70% bagi saman trafik dalam tempoh dua bulan termasuk kes-kes yang disenaraihitamkan.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata diskaun itu ditawarkan sempena ulang tahun ke-75 JPJ melibatkan 3.5 juta saman aktif yang dikenal pasti dari 2010 hingga Mac tahun ini.

Diskaun “Keluarga Malaysia” yang ditawarkan kini menyaksikan 2.3 juta saman trafik dilangsaikan dan RM109 juta dikutip sepanjang empat hari penawarannya yang berakhir pada 12 Disember.

Bekas pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Lee Lam Thye berkata tawaran diskaun adalah satu cara untuk menarik seramai mungkin orang membayar saman yang tertunggak.

Beliau turut berkata ia dilaksanakan ketika keadaan yang tidak menentu di mana ramai orang bergelut dengan kos kehidupan ketika ini.

Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan perkara itu dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan setakat mana ia berkesan jika sekiranya diskaun sedemikian rupa berulang kali ditawarkan kepada orang ramai.

“Saya risau lama-kelamaan ini jadi budaya dalam negara bagi sesiapa yang kena saman, mereka tidak risau mereka kata tak perlu bayar, tunggu diskaun lah,” katanya.

Lee yang juga merupakan pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat turut berkata jika langkah itu terus diamalkan, ia mungkin mengakibatkan munculnya “budaya diskaun”.

“Saya rasa boleh sampai satu tahap masyarakat tak serik atau tak takut undang-undang. Denda RM300 untuk satu kesalahan, adalah jumlah yang besar terutama untuk yang berpendapatan rendah.

“Saman ini bertujuan mendisiplinkan pengguna jalan raya, kalau diskaun, mereka akan ambil remeh.”

Bagaimanapun, tawaran diskaun saman trafik itu tetap dilihat sebagai satu perkara yang tidak adil bagi mereka yang membayar saman mengikut jangka masa yang ditetapkan.

“Ini tidak adil bagi pengguna jalan raya yang tidak menangguhkan bayaran denda mereka,” kata Law.

“Tujuan saman ini untuk memastikan pengguna jalan raya sedar amalan melanggar undang-undang ketika di atas jalan raya baik ketika memandu atau sedang berjalan.” 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles