- Iklan -
Berita

Dr M jelaskan mengapa kerugian forex berbeza daripada skandal 1MDB

Dr Mahathir berkata beliau membenarkan debat dijalankan berkenaan isu forex di Parlimen, berbeza seperti skandal 1MDB.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad berkata kerugian pertukaran mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang terjadi sewaktu penggal pertama beliau menjadi perdana menteri dan skandal 1MDB di bawah pentadbiran Najib Razak adalah dua isu yang dikendalikan secara berbeza, ketika pertikaian terbuka mengenai siapa yang salah dan gagal menguruskan kewangan negara berterusan antara dua bekas perdana menteri itu.

Respons terbaru Mahathir itu tampil selepas baru-baru ini Najib membuat ulasan mengenai kerugian forex pada 1990-an, di mana sekitar RM30 bilion kerugian dianggarkan.

Ulasan Najib itu dibuat selepas beberapa jam beliau gagal dalam rayuannya bagi mengenepikan sabitan pertuduhan berhubung dana RM42 juta yang berkait dengan 1MDB didapati dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.

Mahathir berkata perbezaan antara skandal 1MDB dan kerugian forex ialah kerugian yang didakwa Najib itu hanya sekadar “cakap mulut” sahaja.

“Pegawai bank menyatakan BNM hilang RM30 bilion melalui perdagangan mata wang. Bank sorok kerugian itu dan saya pun dituduh turut menyorokkannya.

“Saya tidak terlibat dalam operasi sebenar BNM. Jika betul wang itu hilang, siasatan perlu dilakukan terhadap operasi BNM,” katanya dalam satu hantaran blog, sambil menambah beliau turut membenarkan perkara itu dibahas dalam Parlimen tidak seperti pendedahan yang berkait skandal 1MDB.”

Pada 8 Disember, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan pertuduhan dan hukuman 12 tahun penjara yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap Najib Julai tahun lalu, mengatakan RM42 juta yang dimasukkan ke dalam bank akaun peribadi bekas perdana menteri itu membawa “malu kepada negara”.

Dalam respons beliau, Najib turut merujuk kerugian pertukaran mata wang asing tersebut.

“Bukankah itu lebih memalukan negara?” katanya.

Ketika pentadbirannya, Najib menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian forex yang berlaku antara 1987 hingga 1992.

Dalam siasatan itu Mahathir turut dipanggil untuk memberi keterangan sebagai salah seorang saksi.

Tindakan Najib pada 2017 itu dilihat sebagai respons beliau terhadap serangan Mahathir ketika pendedahan skandal 1MDB memuncak dalam negara.

Bagaimanapun, RCI tersebut tidak lagi dijalankan susulan kejatuhan pentadbiran Najib dari Putrajaya.

Mahathir juga turut berkata beliau tidak bertanggungjawab terhadap kerugian forex tersebut, mengatakan ia telahpun disahkan oleh pegawai kanan BNM pada ketika itu.

Beliau selanjutnya berkata, berbanding skandal 1MDB, isu forex tersebut tidak menyebabkan wang masuk ke dalam akaun bank peribadinya.

“Namun, dalam kes 1MDB dan SRC, jutaan masuk dalam akaun Najib dan dia dengan senang hati belanjakan wang itu untuk kepentingan dirinya.”