- Iklan -
Berita

Sorotan semula sabitan kes SRC menjelang keputusan rayuan Najib

Ini adalah peluang kedua terakhir bekas perdana menteri itu dalam proses undang-undang bagi mengelak hukuman penjara sehingga beliau berusia 80 tahun.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi

Bekas perdana menteri Najib Razak berdepan hukuman penjara 12 tahun jika Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitannya bagi beberapa pertuduhan berkaitan penyelewengan jutaan ringgit yang dikaitkan dengan SRC International.

Pasukan pembelaan Najib mencabar keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali tahun lalu yang menjelaskan dengan terperinci asas sabitan dalam penghakiman setebal 800 muka surat.

Najib, ahli politik Malaysia paling kanan pernah disabitkan pertuduhan jenayah, didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram.

Hukuman sebenar yang sepatutnya dijatuhkan kepada beliau ialah 72 tahun penjara, 10 tahun bagi enam pertuduhan berkaitan CBT dan pengubahan wang haram, dan 12 tahun kerana kesalahan salah guna kuasa.

Najib turut didenda RM210 juta, iaitu lima kali ganda daripada jumlah yang diseleweng.

Bagaimanapun, hakim Nazlan menggunakan budi bicaranya, mengarahkan hukuman tersebut dijalankan secara serentak.

Kes tersebut memberikan tumpuan terhadap sejumlah RM42 juta dalam dua akaun bank peribadinya, wang yang merupakan sebahagian daripada RM4bilion dana Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang dipinjamkan kepada SRC – anak syarikat 1MDB di mana Najib adalah penasihatnya.

Najib berhujah beliau tidak mengetahui transaksi besar yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya antara 2014 dan 2016, mendakwa menjadi mangsa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Malah beliau juga turut memetik nama pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah.

Dakwaan Najib yang berkata wang itu adalah sebahagian daripada sumbangan peribadi raja Arab Saudi kepadanya ditolak oleh Nazlan.

Nazlan berkata “sangat tidak masuk akal” bagi Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk mendakwa tidak mengetahui dana dalam akaunnya sendiri “namun beliau tidak teragak-agak untuk membelanjakan jumlah tersebut dalam tempoh yang sama”.

Mengenai tuduhannya terhadap Low, atau Jho Low, mahkamah berkata Jho Low hanya menjalankan tugas yang diarahkan Najib “dengan cemerlang”.

“Tertuduh, walaupun didakwa ditipu, bersetuju bahawa beliau tidak kehilangan sebarang wang. Sebaliknya beliau mendapat manfaat yang besar dengan kemasukan sejumlah besar wang ke dalam akaunnya,” menurut penghakiman itu.

Empat pucuk surat

Pasukan pembelaan Najib mengemukakan empat surat daripada “kerabat diraja Saudi”, kononnya derma besar akan diberikan kepadanya.

Namun hakim berkata kisah daripada surat-surat itu adalah “satu rekayasa yang lemah”, menghuraikan “10 masalah” yang ada pada dokumen tersebut, yang dikatakan pihak pendakwaan sebagai dokumen palsu.

Antara “masalah” yang ada pada dokumen itu, kata hakim, ialah salah satu surat yang menjanjikan sejumlah besar wang untuk Najib ditandatangani oleh seorang “Putera Arab Saudi”.

Hakim mempersoalkan bagaimana Najib yang mengaku tidak mengenali individu tersebut, tidak pernah mengambil langkah untuk membuat sebarang pengesahan mengenai dakwaan penulis surat itu.

Hakim juga menemui kelemahan dalam dakwaan Najib tersebut, mempersoalkan mengapa beliau tidak menyebut ucapan terima kasih kepada Raja Abdullah dalam dua suratnya kepada kerajaan Arab Saudi terhadap derma yang didakwa diperolehinya daripada mereka.

“Pembelaan tertuduh yang mengatakan dia secara jujurnya percaya dana yang dimasukkan ke dalam akaunnya adalah derma dari Raja Abdullah hanyalah satu rekaan yang tidak masuk akal.”

Rekayasa Najib

Mahkamah bersetuju bahawa SRC diwujudkan sebagai syarikat bagi mengalihkan dana awam ke dalam poket Najib.

Seperti yang dinyatakan dalam penghakiman, ia adalah sebahagian daripada “rekayasa peribadi Najib… untuk menggunakan SRC bagi kepentingan peribadinya”.

Dalam kes CBT seperti ini, terdapat beberapa isu utama untuk menentukan asas dalam membuktikan tertuduh adalah bersalah.

Dalam kes Najib, ia termasuklah sejauh mana kawalannya ke atas SRC, daripada mana wang itu dialihkan ke dalam akaunnya, dan apakah beliau memiliki niat jenayah ketika melakukan kesalahan tersebut.

Mahkamah berpuas hati bahawa Najib bukan sahaja mempunyai kata putus dalam SRC, bahkan turut mengawal sepenuhnya aktiviti yang dijalankannya, termasuk meletakkan tandatangannya dalam menerima pinjaman dari KWAP kepada SRC.

Di samping itu, sebagai menteri kewangan di mana kementeriannya memiliki 1MDB, Najib adalah orang bertanggungjawab dalam melantik pengerusi, CEO dan pengarah SRC, selain bertanggungjawab membuka akaun bank SRC.

Dengan kuasa yang dimilikinya, beliau turut mendaftarkan anak syarikat SRC di British Virgin Islands, serta membuka akaun bank di Hong Kong dan Dubai dengan deposit lebih RM2 bilion.

Mahkamah turut berkata Najib adalah orang yang mempunyai kuasa membuat keputusan, dan tiada bukti ditemui bahawa pengarah-pengarah syarikat mempersoalkan tindakan-tindakan beliau.

“Tertuduh mempunyai kawalan menyeluruh ke atas syarikat melalui kuasa pengambilan dan pemecatan ke atas pengarah (sebagai perdana menteri), arahannya kepada pengarah melalui pelbagai minit pemegang saham (sebagai menteri kewangan), dan nasihatnya mengenai strategi dan perkara-perkara penting yang mesti diselesaikan oleh para pengarah.”

Mahkamah turut berpuas hati berhubung niat jenayah ketika kesalahan itu dilakukan, hal ini kerana Najib menandatangani cek untuk memindahkan dana dari SRC ke akaun bank peribadinya, seperti yang diakui beliau sendiri.

Dalam kes CBT sedemikian rupa, hujah Najib bahawa beliau menandatangani pemindahan wang itu dengan anggapan ia adalah untuk tujuan amal tidak boleh diterima kerana tujuan berbelanja selepas penyelewengan adalah tidak relevan.

Apakah Najib akan ke penjara?

Sekiranya Najib kalah dalam rayuannya di hadapan tiga panel hakim, bekas perdana menteri itu hanya memiliki satu lagi peluang di Mahkamah Persekutuan, di mana tujuh hakim akan membuat keputusan ke atas kes beliau.

Memandangkan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan sepatutnya difailkan dalam tempoh empat bulan selepas keputusan Mahkamah Rayuan, Najib memiliki tempoh hingga April 2022 untuk mengetahui sama ada beliau akan dipenjara atau kekal bebas.

Jika beliau dihukum penjara, Najib akan berusia 80 tahun ketika selesai menghabiskan hukumannya kecuali mendapat pengampunan diraja seperti apa yang berlaku kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim yang dibebaskan dari penjara pada 2018 sebelum menyelesaikan tempoh hukuman bagi kesalahan liwat.