Sunday, January 23, 2022

‘Tiada apa perlu disorok’, kata Dr Mahathir berhubung pajakan tanah di Langkawi

Bekas perdana menteri itu berkata ada perbezaan antara pajakan dan hadiah.

Other News

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mempunyai apa-apa yang perlu disorok berhubung tanah di Langkawi yang diterimanya semasa Kedah di bawah Mukhriz Mahathir sebagai respons kepada Najib Razak yang membangkitkan isu itu selepas hadiah hartanahnya yang bernilai RM100 juta dari Putrajaya dikecam ramai.

Mahathir yang juga perdana menteri Malaysia paling lama berkhidmat berkata terdapat perbezaan antara tanah yang diberikan secara percuma dan diberikan secara pajakan.

“Bukan dapat free, diskaun pun tidak,” katanya dalam tulisan di blognya.

“Saya akui saya pajak tanah. Pajak, bukan minta. Pajak kena bayar. Tak dapat free pun.”

Mahathir berkata beliau turut membeli dua bidang tanah di Langkawi selepas bersara daripada politik, namun tidak pernah menerima hadiah sama ada daripada kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat.

“Sebaliknya kos sewaan dinaikkan berkali ganda sehingga saya serah balik kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Dalam pertengkaran antara Najib dan Mahathir bulan lalu, Najib mendakwa kerajaan negeri Kedah semasa beliau menjadi perdana menteri pernah menawarkan pajakan tanah pantai seluas 34 ekar di Langkawi dengan harga RM3,200 setahun kepada Dr Mahathir Mohamad,

Najib berkata tawaran itu dibuat pada 2014 ketika pentadbiran Kedah dipimpin Mukhriz Mahathir. Najib juga mendakwa Mukhriz mendapat tanah pembalakan seluar 2,471 ekar.

Dakwaan Najib itu adalah bagi membalas serangan Mahathir ke atasnya berikutan pendedahan mengenai permohonan sebuah hartanah bernilai RM100 juta menggunakan Akta Ahli Parlimen (Saraan), di mana ia membenarkan bekas perdana menteri menerima beberapa pilihan elaun perumahan.

Beliau turut mempertahankan diri , mengatakan elaun tersebut diperkenalkan oleh Mahathir sendiri.

Dalam pada itu Mahathir berkata beliau sedia untuk disiasat berhubung sebarang salah laku.

“Dah 18 tahun saya berhenti dari kerajaan semasa jadi Perdana Menteri pertama kali. Selama itu, saya jadi perdana menteri semula 22 bulan. Apabila jadi PM kali kedua, pencen saya dihentikan. Pencen diberi balik selepas saya berhenti dari jadi PM kali kedua,” katanya lagi

“Macam-macam tuduhan yang dibuat tentang ‘salah laku’ saya. Kalau benar dakwalah. Kalau bersalah hukumlah.”

Beliau berkata ketika mula bercakap mengenai skandal 1MDB, pelbagai usaha untuk menuduh beliau melakukan salah laku oleh pentadbiran pada waktu itu.

“Bila gagal sampai tukang masak saya pun dilucutkan jawatan. Malah, isteri saya pun turut disoal siasat. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula siasat anak-anak saya,” jelas beliau.

“Alhamdulillah, cukai semua dibayar ikut undang-undang dan tak timbul hutang cukai sampai berbilion. Jadi tak perlu mintak pelepasan passport untuk ke luar negara.”

Mahathir juga berkata beliau tidak perlu menjelaskan apa-apa dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa mengenai pajakan yang dibuatnya.

“Tak ada apa perlu disorok,” katanya.

Pada 12 November, MalaysiaNow mendedahkan butiran rancangan kerajaan untuk meluluskan ganjaran hartanah bernilai RM100 juta untuk Najib yang terletak di kejiranan mewah Kuala Lumpur.

Seminggu selepas itu, ia kemudiannya dibangkitkan Mahathir di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Putrajaya berkata penganugerahan ganjaran kepada Najib masih belum dimuktamadkan.

Akibat dikecam orang ramai, Najib mengumumkan beliau menarik balik permohonan tanah di Bukit Petaling tersebut.

Dalam pada itu, Mahathir berkata beliau tidak perlu menjelaskan apa-apa dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa mengenai pajakan yang dibuatnya.

Najib juga dilaporkan memilih pilihan yang paling mahal dari tiga pilihan ditawarkan Jabatan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab dalam proses pemberian kepada bekas perdana menteri.

Sejak tumbang pada 2018, Najib didakwa dengan pelbagai pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan skandal 1MDB.

Tahun lalu, beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan dengan tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International.

Keputusan rayuannya ditetapkan pada 8 Disember depan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles