- Iklan -
Berita

Hadi tolak gesaan supaya PAS tinggalkan Bersatu, PN

Presiden PAS berkata perpaduan Melayu seperti yang termaktub dalam piagam yang ditandatangani bersama Umno mengatasi politik kepartian.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan rakan sejawatnya dari Bersatu Muhyiddin Yassin berjalan seiringan. Gambar: Bernama
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan rakan sejawatnya dari Bersatu Muhyiddin Yassin berjalan seiringan. Gambar: Bernama

Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberikan isyarat tegas parti itu tidak akan meniggalkan Perikatan Nasional (PN) bagi meneruskan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN), menamatkan spekulasi daripada pemimpin parti Melayu itu susulan keputusan pilihan raya negeri (PRN) di Melaka baru-baru ini.

Dalam sebuah kenyataan penuh perumpamaan dan ayat Al-Quran, Hadi berkata pendirian tersebut adalah selari dengan semangat asal MN, yang merupakan piagam kerjasama ditandatangani PAS dan Umno pada 2019 ketika dua parti Melayu itu berada di blok pembangkang.

“PAS hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik PN,” katanya.

Kenyataan tersebut tampil kurang seminggu selepas gesaan berulang kali pemimpin Umno supaya PAS memikirkan semula keputusan untuk terus bekerhasama dengan Bersatu dalam PN.

PAS memilih untuk bertanding menggunakan logo PN bersama Bersatu dan Gerakan dalam PRN Melaka yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno merampas semula tampuk pentadbiran kerajaan negeri selepas digulingkan pada pilihan raya umum (PRU) 2018 lalu.

PAS merupakan sebahagian daripada gabungan PN diketuai bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang digulingkan dari Putrajaya susulan kempen didalangi pemimpin Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Menjelang PRN Melaka, PAS menolak gesaan pemimpin Umno dengan memberikan komitmen kepada PN, dan buat pertama kalinya parti itu bertanding dalam pilihan raya tanpa logo hijau putihnya.

Bagaimanapun, kekalahan PN kepada Umno dalam PRN tersebut menyebabkan pemimpin Umno yang setia kepada Zahid dan Najib sekali lagi menggesa supaya piagam MN diperbaharui.

Hadi berkata piagam MN sepatutnya turut memasukkan Bersatu, sambil menambah ia adalah berdasarkan seruan Islam kesatuan merentasi kaum.

Beliau berkata MN menumpukan usaha dalam kesatuan Melayu-Muslim, sementara PN ditubuhkan dalam bentuk yang lebih luas diwujudkan kerana mengambil kira masyarakat yang lebih besar termasuklah golongan bukan Islam yang sudah menjadi masyarakat majmuk.

“Justeru, disatukan umat Islam yang terkumpul dalam parti-parti Melayu dan bumiputera yang terbesar, daripada Umno, PAS dan Bersatu, di samping mereka yang tidak berparti dalam badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain,” kata Hadi.

“Setelah mengambil alih kerajaan pusat, maka Perikatan Nasional pula diwujudkan kerana mengambil kira masyarakat yang lebih besar termasuklah golongan bukan Islam yang sudah menjadi masyarakat majmuk.”

Hadi turut berkata PAS menolak MN jika ia hanya melibatkan parti Islam itu dan Umno.

“PAS juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu PN.”