Saturday, December 4, 2021

NGO selar keputusan Terengganu galak poligami kepada golongan tidak berkemampuan

Sister in Islam berkata keputusan Terengganu longgar permohonan suami berpoligami dapatkan rumah mampu milik mengesampingkan keutamaan terhadap golongan rentan ketika pandemik.

Other News

Sister in Islam (SIS) menyelar keputusan kerajaan Terengganu memberi kelonggaran kepada suami berpoligami memohon rumah mampu milik (RMM) dengan syarat pendapatan tidak melebihi RM2,500, menyifatkan ia sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab malah menggalakkan poligami dalam kalangan individu tidak berkemampuan.

SIS menyatakan kegusarannya dan berkata keputusan itu tidak masuk akal oleh kerajaan negeri kerana dengan jumlah pendapatan suami sebanyak RM2,500, ia tidak cukup untuk menafkahi isteri lebih dari seorang.

“Secara logiknya, RM2,500 itu dipecahkan untuk membayar nafkah isteri-isteri, anak-anak, bil api, membeli barangan dapur dan lain-lain jadi, adakah RM2,500 itu mencukupi?

“Justeru, tindakan kerajaan negeri Terengganu ini langsung tidak bertanggungjawab dan tidak mengambil kira pecahan perbelanjaan suami untuk keluarganya,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Kritikan SIS tampil susulan kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Dr Alias Razak pada 19 November yang antara lain berkata kelonggaran itu antara kaedah kerajaan bagi menyelesaikan masalah kediaman dihadapi rakyat terutama yang mempunyai lebih daripada seorang isteri.

Selain nilai ambang pendapatan, Alias turut berkata pemohon yang terpilih akan ditemuduga bagi mengelakkan pilih kasih dalam pengagihan rumah.

Dalam pada itu SIS merujuk kes permohonan poligami di Mahkamah Syariah pada 2019 mengenai syarat mahkamah dalam berpoligami, mempertikaikan ketidakadilan yang boleh berlaku jika skim permohonan rumah tersebut dijalankan.

“Antara syarat yang mahkamah perlu pertimbangkan adalah sama ada pemohon poligami boleh berlaku adil di kalangan isteri-isteri, iaitu menyamaratakan di antara para isteri dalam aspek material (nafkah zahir) meliputi tempat tinggal, makan minum, pakaian dan sebagainya.

“Jelas menunjukkan bahawa syarat untuk berpoligami perlu menyamaratakan dari aspek tempat tinggal. Jika rumah dibeli di bawah skim ini, si suami hanya boleh membeli sebuah rumah, dan hanya seorang daripada isterinya dapat menduduki rumah tersebut. Adakah ini kira adil?”

Selain itu, katanya, kebanyakan isu perkahwinan poligami adalah kegagalan suami berlaku adil dalam pemberian nafkah kepada keluarganya, malahan menjadi punca utama perceraian.

SIS turut berkata kelonggaran itu dibimbangi akan menggalakkan lebih ramai suami berpoligami walaupun tidak berkemampuan dari segi kewangan.

Menurut SIS, kajiannya bersama beberapa penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) mendapati mendapati kebanyakan lelaki berpoligami tidak mampu memenuhi nafkah zahir dan nafkah batin yang mendasari semua jenis perkahwinan.

Dalam kajian bertajuk “The Impact of Polygamy on Muslim Families in Peninsular Malaysia” yang dijalankan dari 2007 hingga 20212, tinjauan mendapati 40% suami mengaku mengurangkan perbelanjaan kepada anak-anak, isteri dan keperluan rumah yang lain selepas berpoligami.

Kajian melibatkan 1,224 responden itu juga turut mendapati selepas poligami 44% isteri pertama mula bekerja, bekerja lebih masa dan mencari kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan selepas suami berpoligami, 64% isteri pertama mengaku suami tidak mengikut giliran yang ditetapkan atau tiada langsung giliran diberi dan 77% anak isteri pertama tidak berpuas hati dengan aturan giliran bapa mereka.

Dalam pada itu, SIS turut mempersoalkan keputusan tersebut yang disifatkan mengesampingkan golongan yang lebih utama diberikan perhatian akibat pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi golongan rentan seperti ibu bapa tunggal yang terpaksa berdepan masalah kerana tidak memiliki dokumen penting dan hanya mampu bekerja separuh masa.

“Ibu bapa tunggal mengalami kesusahan dalam memohon bantuan kewangan dari kerajaan di mana mereka diminta untuk menyediakan sijil cerai atau sijil kematian pasangan.

“Mengambil kira pengalaman realiti kehidupan perempuan dan ibu tunggal, amatlah penting agar kerajaan negeri Terengganu berfikiran secara realistik dan bukan hanya memikirkan cara-cara untuk menyenangkan poligami bagi para suami.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles