Wednesday, December 8, 2021

Pendedahan: Najib pilih ‘keistimewaan’ paling mahal selepas tolak tanah ‘lebih murah’

Walaupun ditawarkan sebuah lagi kawasan premium di ibu negara, bekas perdana menteri itu menyasarkan plot tanah lebih besar yang akan menggandakan kos perbelanjaan kerajaan.

Other News

Najib Razak memilih tanah paling mahal dalam senarai elaun perumahan yang ditawarkan kerajaan kepadanya, MalaysiaNow difahamkan susulan siasatan lanjut terhadap kontroversi rumah bernilai RM100 juta untuk bekas perdana menteri yang disabitkan pertuduhan jenayah tersebut.

MalaysiaNow turut difahamkan Najib boleh sahaja memilih elaun sewaan bulanan sebanyak RM10,000 jika memilih untuk kekal menduduki kediamannya yang terletak di Taman Duta ketika ini, atau tinggal di rumah kerajaan yang lengkap dengan kemudahan tanpa sebarang pemindahan hak milik.

“Namun dia secara peribadi hantar permohonan untuk pilihan yang lebih mahal iaitu kerajaan anugerahkan satu plot tanah. Selain itu, dia juga pilih untuk kerajaan bina rumah di atas tanah tersebut,” kata sumber yang maklum dengan undang-undang mengenai penyelenggaraan pegawai tinggi kerajaan dan penjawat awam kanan kepada MalaysiaNow.

Difahamkan, Najib secara peribadi melawat tapak tersebut sebelum secara rasmi menyatakan hasratnya mengenai hartanah awal tahun ini, ketika beliau dilihat sibuk menyerang pentadbiran Muhyiddin Yassin dengan menuduhnya mengabaikan kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Permohonan beliau untuk mendapatkan tanah itu hanya mendapat perhatian serius selepas pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, menggantikan Muhyiddin berikutan penggulingan pengerusi Bersatu itu daripada pentadbiran kerajaan didalangi Najib dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan sokongan ketua pembangkang Anwar Ibrahim.

Bahagian yang ditonjolkan dalam gambar udara Bukit Petaling, Kuala Lumpur adalah lokasi plot tanah di mana pembinaan rumah percuma untuk Najib Razak dicadangkan, ia menelan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM100 juta.

Bagaimanapun, langkah itu menerima bantahan dari dalam Kabinet Ismail sendiri, termasuk menteri-menteri kanan Tengku Zafrul Aziz dan Mohamed Azmin Ali, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

Semalam, Najib mempertahankan “hadiah” tersebut dan menyifatkannya tidak menyalahi undang-undang selepas diserang apabila isu tersebut dibangkitkan oleh Dr Mahathir Mohamad dalam sidang Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau memilih satu dari tiga pilihan aset hartanah yang ditawarkan oleh kerajaan.

“Tanah kerajaan dekat Dewan Bahasa dan Pustaka sebab keluarga saya rasa lokasi itu paling sesuai bagi mereka,” katanya sebelum menyenaraikan jasa-jasa yang dicurahkan kepada negara sepanjang sembilan tahun penggal pentadbirannya.

Najib turut menafikan tanah tersebut akan menyebabkan kerajaan menanggung kos sebanyak RM100 juta sambil menambah berita mengenai permohonan beliau untuk mendapatkan tanah tersebut sengaja didedahkan berkebetulan dengan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang beliau terlibat dalam kempen calon-calon Barisan Nasional (BN).

Tanah ‘lebih murah’, kos lebih rendah

Siasatan MalaysiaNow, yang terawal mendedahkan keputusan untuk menghadiahkan tanah tersebut kepada Najib, menunjukkan plot tanah tersebut terletak di Bukit Petaling, salah satu hartanah paling mahal di Kuala Lumpur.

Berkeluasan kira-kira 120,000 kaki persegi atau 2.8 ekar, tanah kosong itu memiliki saiz lebih besar daripada dua padang bola sepak.


Dr M pertikai rumah bernilai RM100 juta untuk ‘penyangak’

Zafrul, 3 menteri lain antara yang bantah ‘hadiah’ rumah RM100 juta kepada Najib?

Pendedahan: Najib bakal dapat rumah percuma bernilai RM100 juta di kejiranan mewah KL


Satu sumber berkata Najib memilih tanah itu berbanding satu lagi tawaran kawasan lain, yang turut terletak di kawasan kejiranan mewah, di mana kerajaan hanya perlu membayar separuh daripada jumlah tersebut.

“Tanah yang dia tolak itu terletak satu kawasan di Jalan Duta, dan ia berukuran dua pertiga daripada saiz tanah yang Najib mahu dapatkan.

“Mengikut harga pasaran semasa, tanah hanya memerlukan kerajaan membayar RM20 juta lebih murah dari tanah yang dia pilih,” kata sumber.

Semakan menunjukkan pilihan hartanah “lebih murah” yang ditawarkan kepada Najib itu mempunyai nilai pasaran kira-kira RM45 juta, bersama banglo dua tingkat di tapak tersebut.

“Kerja-kerja baik pulih dan ubah suai mewah kawasan itu akan menyebabkan kerajaan mungkin menanggung kos antara RM3 hingga RM5 juta,” kata seorang kontraktor pengubahsuaian rumah ketika diminta membuat anggaran kasar.

Dengan anggaran tersebut, ia akan menjadikan jumlah kos untuk menyediakan rumah percuma kepada Najib adalah kurang dari RM50 juta.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan kerajaan bersetuju membelanjakan RM100 juta untuk menghadiahkan hartanah untuk Najib di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan).

Jumlah besar itu mengambil kira nilai pasaran hartanah serta kos pembinaan rumah di plot tersebut.

Semakan dengan beberapa pakar hartanah mewah di Kuala Lumpur menunjukkan lot kosong di Bukit Petaling yang dipilih Najib boleh mencecah hampir RM70 juta mengikut nilai pasaran semasa.

“Jadi jika kerajaan bersetuju untuk membelanjakan RM100 juta, itu bermakna rumah yang akan dibina akan menelan kos RM30 juta,” kata seorang pakar hartanah mewah yang berpangkalan di Bukit Damansara.

Sejak MalaysiaNow pertama kali mendedahkan hadiah kontroversi kerajaan kepada Najib pada 12 November, media sosial dibanjiri kecaman rakyat Malaysia berhubung keputusan tersebut, ramai daripada mereka memetik sabitan kesalahan jenayah rasuah terhadap beliau tahun lalu.

Sejak ditumbangkan daripada kuasa dan berdepan puluhan pertuduhan rasuah, Najib menjenamakan semula dirinya sebagai jaguh rakyat biasa menggunakan slogan “Bossku” yang digunakan secara meluas di platform media sosial.

Beberapa serbuan susulan kejatuhannya, pihak berkuasa menyita senarai panjang barangan mewah termasuk barangan kemas, jam tangan, beg tangan mewah yang bernilai ratusan juta ringgit di mana penyiasat mempercayai ia berkait dengan skandal 1MDB.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah bagi tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International yang berkait 1MDB.

Rayuan Najib bagi sabitan kes tersebut masih berjalan ketika ini.

Beliau juga dilarang untuk melakukan perjalanan ke luar negara sejak 2018 namun berjaya mendapatkan pasport untuk ke Singapura akhir bulan ini.

Bulan lalu, beliau juga memenangi permohonannya terhadap tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bulan lalu bagi menangguhkan pembayaran kira-kira RM1.7 bilion cukai tertunggak.

Pada Ogos, sejumlah RM114 juta tunai yang disita pada 2018 dikembalikan kepada beliau, susulan kegagalan kerajaan untuk membuktikan wang tersebut diseleweng dari 1MDB.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles