Monday, December 6, 2021

Zafrul, 3 menteri lain antara yang bantah ‘hadiah’ rumah RM100 juta kepada Najib?

Mereka adalah pemimpin-pemimpin utama parti politik yang menganggotai Kabinet Ismail Sabri Yaakob.

Other News

Tengku Zafrul Aziz dan beberapa menteri lain mewakili beberapa parti utama dalam kerajaan membantah tindakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk meluluskan pemberian tanah premium dan rumah mewah kepada pemimpin Umno Najib Razak, menurut sumber yang rapat dengan beberapa anggota Kabinet.

MalaysiaNow difahamkan selain menteri kewangan yang digasak hebat di Dewan Rakyat hari ini berhubung pendedahan hartanah bernilai RM100 juta akan dibina untuk bekas perdana menteri itu, beberapa menteri lain juga turut menyatakan ketidaksenangan mereka berhubung tindakan tersebut.

Antara mereka termasuklah Mohamed Azmin Ali dari Bersatu, Khairy Jamaluddin (Umno) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS), yang kesemuanya merupakan pemimpin utama parti-parti yang menganggotai Kabinet Ismail.

Ketika diasak, sumber tersebut enggan mendedahkan butiran mengenai apa yang berlaku dalam perbincangan Kabinet berkenaan perkara itu.

MalaysiaNow, yang pertama kali mendedahkan butiran “hadiah” kepada Najib minggu lalu, tidak dapat mengesahkan dengan menteri-menteri yang dinamakan atau rakan mereka yang mengambil pendirian serupa dalam Kabinet.

Sekurang-kurangnya seorang menteri memberikan respons, mengatakan butiran mesyuarat Kabinet tersebut adalah sulit.


Pendedahan: Najib bakal dapat rumah percuma bernilai RM100 juta di kejiranan mewah KL

Dr M pertikai rumah bernilai RM100 juta untuk ‘penyangak’


Pada 12 November, MalaysiaNow melaporkan Najib memohon “keistimewaan” daripada kerajaan dalam bentuk sebuah hartanah kediaman berkeluasan 2.8 ekar bernilai RM100 juta.

Najib juga mengesahkan permohonan tersebut di Facebook, dengan menyerang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang membangkitkan perkara tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib berkata beliau hanya menyewa sebuah banglo untuk menempatkan pejabatnya.

“Malah pejabat bekas perdana Menteri saya cuma satu banglo disewa di Bukit Pantai. Bukan kompleks besar macam perdana leadership foundation Mahathir.

“Anak-anak saya pun bukan bilionair macam anak-anak dia,” kata Najib sambil menambah berita mengenai permohonannya itu sengaja diterbitkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Terdahulu, Mahathir membangkitkan perkara tersebut ketika mencelah ucapan Zafrul dalam perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat.

“Saya sendiri masa jadi PM 22 tahun.. saya tak ambil satu keping tanah pun.. Cuma pencen saya sahaja.

“Tapi ini buat kerja sekian lama, curi duit, seleweng duit, salah guna duit, salah guna kuasa, dapat hadiah RM100 juta.” katanya.

Tanah premium tinggi

“Keistimewaan” kepada Najib turut termasuk penganugerahan pemilikan sebuah tanah premium dengan keluasan lebih 120,000 meter persegi di Bukit Petaling, kawasan kejiranan eksklusif di tengah-tengah Kuala Lumpur, selain pembinaan banglo di kawasan itu melibatkan kos RM100 juta.

Gambar dari udara oleh MalaysiaNow turut menunjukkan plot tanah di Bukit Petaling, sebuah kawasan tanah tinggi eksklusif di ibu negara.

Permohonan Najib tersebut dibuat di bawah peruntukan Akta Ahli Parlimen (Saraan).

Akta tersebut membenarkan tiga jenis elaun perumahan dalam bentuk penghargaan daripada kerajaan dan boleh dipilih sama ada dalam bentuk rumah kerajaan lengkap dengan segala keperluan, elaun RM10,000 sebulan jika beliau memilih untuk tinggal di kediaman sendiri atau pemilikan sebuah rumah yang dihadiahkan oleh kerajaan.

Pemandangan dari udara Bukit Petaling (latar depan) di mana terletaknya kira-kira 2.8 ekar tanah bagi pembinaan rumah bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan kesalahan jenayah memakan kos sekitar RM100 juta.

Difahamkan, Najib memilih pilihan ketiga, setahun selepas digulingkan pada 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan sekali lagi pada tahun lalu, beberapa bulan sebelum beliau disabitkan bersalah bagi kes rasuah melibatkan skandal 1MDB susulan lawatan ke lot tanah tersebut awal tahun ini.

Sejak ditumbangkan daripada kuasa dan berdepan puluhan pertuduhan rasuah, Najib menjenamakan semula dirinya sebagai jaguh rakyat biasa menggunakan slogan “Bossku” yang digunakan secara meluas di platform media sosial.

Beberapa serbuan susulan kejatuhannya, pihak berkuasa menyita senarai panjang barangan mewah termasuk barangan kemas, jam tangan, beg tangan mewah yang bernilai ratusan juta ringgit di mana penyiasat mempercayai ia berkait dengan skandal 1MDB.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah bagi tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International yang berkait 1MDB.

Bulan lalu, beliau juga memenangi permohonannya terhadap tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menangguhkan pembayaran kira-kira RM1.7 bilion cukai tertunggak.

Pada Ogos, sejumlah RM114 juta tunai yang disita pada 2018 dikembalikan kepada beliau, susulan kegagalan kerajaan untuk membuktikan wang tersebut diseleweng dari 1MDB.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles