Sunday, December 5, 2021

Syed Saddiq kecam Kabinet lulus peruntukan rumah Najib bernilai RM100 juta

Syed Saddiq mempersoalkan peruntukan ratusan juta kepada Najib sedangkan ketika permohonan peruntukan jawatan tetap untuk doktor kontrak tidak diberikan.

Other News

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mempersoalkan mengapa tiada bantahan oleh jemaah menteri ketika peruntukan RM100 juta diluluskan sedangkan peruntukan bagi kakitangan perkhidmatan awam dan bantuan kepada rakyat tidak diluluskan atas alasan tiada dana.

Saddiq membangkitkan perkara itu ketika mencelah ucapan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada sidang Dewan Rakyat hari ini, mempersoalkan bagaimana Najib Razak yang disabitkan kesalahan salah guna dan penyelewengan dana berkait 1MDB dan SRC International boleh menerima harta ratusan juta.

“Bila kita minta peruntukan jawatan tetap bagi doktor kontrak dan bantuan lain untuk rakyat, kata tak ada duit.

“Tetapi bagi satu orang kita nak luluskan RM100 juta, kalau kita luluskan perkara ini, nama dan maruah kita sedang dipertaruhkan,” katanya.

Dalam ciapan Twitter beliau, Saddiq sekali lagi membangkitkan perkara sama dan turut menyatakan kekecewaannya kerana Kabinet meluluskan permohonan Najib tersebut.

“Benda ni diluluskan dalam Kabinet. Takkan tak ada bantahan masa dibentangkan dalam Kabinet?!”

“Kerajaan sanggup jual maruah negara dari tolong rakyat sendiri!” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Najib memohon “keistimewaan” daripada kerajaan dalam bentuk sebuah rumah kediaman dengan keluasan 2.8 ekar bernilai RM100 juta yang terletak di kejiranan paling eksklusif Kuala Lumpur.

“Keistimewaan” kepada Najib turut termasuk penganugerahan pemilikan sebuah tanah premium dengan keluasan lebih 120,000 meter persegi di Bukit Petaling, kawasan kejiranan eksklusif di tengah-tengah Kuala Lumpur, selain pembinaan banglo di kawasan itu melibatkan kos RM100 juta.

Difahamkan Najib membuat permohonan rasmi kepada kerajaan awal tahun ini susulan lawatan ke tanah kosong tersebut.

Terdahulu, Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad turut mempertikaikan peruntukan tersebut, menyifatkan Najib sebagai seorang “banduan” di mana beliau sudah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan didenda melebih RM200 juta berhubung dana 1MDB dan SRC International.

“Inikah jasa yang kerajaan yang ada sekarang ini nak balas budi? Jadi PM yang akan datang semua akan curi duit.

“Sebab lepas curi duit, dapat tambah duit lagi.. dan duit yang dicuri pun dibagi balik. Ini kerajaan baru dan dasar baru,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles