- Iklan -
Berita

3 penjuru di Tanjung Bidara, pertembungan bakal ketua menteri merebut undi Melayu

Penganalisis politik berkata Tanjung Bidara akan menjadi indikator sokongan pengundi Melayu di negeri itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Mas Ermieyati (PN-Bersatu) bersama Ab Rauf (BN-Umno) dan Zainal Hassan (PH-PKR) ketika hadir bagi penamaan calon bagi DUN Tanjung Bidara di Dewan Japerun, Tanjung Bidara.
Mas Ermieyati (PN-Bersatu) bersama Ab Rauf (BN-Umno) dan Zainal Hassan (PH-PKR) ketika hadir bagi penamaan calon bagi DUN Tanjung Bidara di Dewan Japerun, Tanjung Bidara.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan dua nama “heavyweight” daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional(PN) yang disebut-sebut bakal memimpin kerajaan negeri Melaka sekiranya gabungan masing-masing berjaya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mas Ermieyati Samsudin yang juga naib ketua srikandi Bersatu akan berdepan dengan pengerusi badan perhubungan Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh.

BN meletakkan calon di kesemua 28 kerusi DUN apabila perbincangan kerusi dengan PN menemui jalan buntu.

Mereka juga akan berentap dengan Zainal Hassan yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Mas Ermieyati merupakan ahli Parlimen Masjid Tanah manakala Rauf buat pertama kalinya bertanding dalam pilihan raya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Mas Ermieyati memenangi 44.5% undi sebagai calon BN, menewaskan Sabirin Ja’afar dari PH dan Mohd Nasir Othman daripada PAS, yang masing-masing memperoleh 28.7% dan 9.1% undi.

Kerusi Tanjung Bidara disandang oleh bekas ahli Dewan Undangan Negeri Umno, Md Rawi Mahmud yang mengekalkan kerusi itu selama dua penggal.

Beliau mengundur diri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini atas faktor usia.

Md Rawi menang dengan jumlah 4,865 undi dengan majoriti 2,864 menewaskan Halim Bachik dan Imran Abdul Rahman masing-masing dari PH dan PAS pada PRU14.

Kerusi itu dilihat sebagai kubu kuat Umno dan akan menguji sejauh mana penerimaan rakyat terhadap Rauf yang juga ketua Umno Masjid Tanah dan bekas speaker DUN Melaka.

Bagi penganalisis politik, Ahmad Marthada Mohamed dari UUM, strategi mengambil kerusi selamat menjadi strategi Rauf untuk meraih kemenangan mudah.

“Kekalahan beliau akan mencalarkan imej Umno,” katanya kepada MalaysiaNow.

Rauf menjadi fokus kali ini apabila pergeseran beliau dan Idris Haron menjadi punca penarikan sokongan empat Adun kerajaan terhadap ketua menteri sebelum ini, Sulaiman Md Ali sekali gus menyebabkan PRN Melaka terpaksa diadakan.

Sejurus krisis politik Melaka bermula, Rauf sering muncul di media bagi memberi penerangan mewakili Umno berhubung perkembangan politik di negeri bersejarah itu.

Calon yang memenangi kerusi ini bakal menggalas nelayan dan bekerja sendiri, yang membentuk majoriti penduduk dan pengundi Tanjung Bidara.

Bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar, kerusi Tanjung Bidara akan menjadi indikator sokongan pengundi Melayu di negeri itu.

“Keputusan ini akan menjadi referendum kepada BN bagi mereka melakar langkah strategik dalam merencana percaturan politik mereka dengan PN,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Senario terbaik, BN mampu membentuk kerajaan secara bersendiri akan membentuk psikologi bahawa pengundi Melayu kembali menyokong BN setelah parti berkenaan tewas dengan majoriti tipis di tangan PH pada PRU14 lalu.”

Katanya, jika BN kalah, gabungan itu tidak boleh meneruskan pertembungan tiga penjuru pada PRU15.

“Hayunan atau swing undi Melayu perlu diteliti bagi memastikan parti Melayu mana akan menjadi pilihan mereka,” katanya.