- Iklan -
Berita

Pakar beri amaran lonjakan virus seperti Singapura mungkin berlaku jika rakyat cuai

Mereka berkata orang ramai harus menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada wabak, bukan menjadi masalah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai tidak boleh cuai dalam menjaga SOP  dan penjagaan kendiri bagi mengelakkan lonjakan kes kembali berlaku di Malaysia.
Orang ramai tidak boleh cuai dalam menjaga SOP dan penjagaan kendiri bagi mengelakkan lonjakan kes kembali berlaku di Malaysia.

Pakar-pakar kesihatan memberi amaran kes Covid-19 yang sedang menurun bukan jaminan tidak akan berlaku peningkatan kes seperti di Singapura baru-baru ini yang menyaksikan lonjakan apabila ekonomi dibuka semula.

Singapura mencatatkan peningkatan kes harian sehingga 3,174 pada Isnin dengan 14 kematian.

Peningkatan ketara kes di republik itu berlaku selepas kerajaan Singapura menggunakan pendekatan “hidup bersama Covid-19” ketika hanya merekodkan kira-kira 20 kes sehari pada Jun.

Ketika ini, beberapa negara seperti United Kingdom dan China juga berhadapan dengan peningkatan ketara Covid-19 yang mana terdapat gesaan agar sekatan pergerakan dilaksanakan semula.

Pakar virologi, Dr Yahya Mat Arip dari USM berkata, Malaysia juga berkemungkinan mengalami gelombang Covid-19 baru.

“Rakyat Malaysia harus menyedari kemungkinan berlakunya gelombang baru sekiranya kita semua tidak memberi perhatian kepada usaha pencegahan berterusan dan mula mengambil sikap sambil lewa,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Atas desakan ekonomi dan sosial, kelonggaran diberikan kepada rakyat. Tanggungjawab seterusnya adalah jatuh pada bahu rakyat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan.”

Beliau berkata, rakyat tidak boleh melaungkan “kerajaan gagal” sekiranya diri sendiri menjadi punca permasalahan.

“Kita semua kena menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukan sebahagian daripada permasalahan,” katanya sambil menggesa orang ramai untuk tidak bersikap sambil lewa hanya kerana kes menunjukkan trend penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata baru-baru ini kes baru Covid-19 menurun sebanyak 20.7% daripada 52,321 kes pada minggu epidemik (ME) ke-41 kepada 41,508 (ME 42).

Menurut Noor Hisham, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan kadar kematian juga menurun selari dengan penurunan kes.

Sementara kes membabitkan ICU menurun 16.5% pada ME 42 manakala kes yang memerlukan bantuan pernafasan turun sebanyak 14.4% pada ME 42.

Kadar jangkitan R-naught (Rt) kekal stabil pada 0.88%.

Bagaimanapun Yahya berkata, meskipun negara dilihat berada dalam landasan yang baik, Malaysia masih belum menang dan usaha berterusan diperlukan bagi memastikan peratusan kecil golongan dewasa yang belum divaksin menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, berdasarkan sejarah wabak campak (Measles) yang mana usaha mengawal penularan wabak mengambil masa lebih 10 tahun sebelum dapat dikawal apabila usaha vaksinasi yang bermula pada hujung 1960-an hanya memberikan hasil pada sekitar 1980-an.

Hanya 1,077 kes demam campak direkodkan pada 2019 dan 478 kes direkod pada 2020.

“Mengambil pengajaran daripada penyakit Measles, perkara yang sama juga perlu kita lalui.

“Pematuhan SOP pencegahan adalah penting memandangkan mereka yang lengkap divaksin masih boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain. Pembentukan perlindungan imuniti dalam komuniti juga mengambil masa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Dr Sazaly Abu Bakar berkata sama ada Malaysia bakal mengalami peningkatan kes bergantung kepada jumlah saringan yang dilakukan.

“Jika kita hanya membuat saringan bagi yang memerlukan rawatan di hospital, kes akan turun hingga ke tahap lantar (baseline) dan selepas itu ia kembali naik seperti yang berlaku di negara negara lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, situasi buruk seperti kematian harian mungkin sudah tamat, namun tidak bagi situasi jumlah kes dan “long Covid”.

“Malaysia memasuki fasa ‘kuda yang terlepas dari kandang’, yang mana tiada sekatan dikenakan bagi hampir semua aktiviti. Justeru, tidak banyak yang boleh dilakukan buat masa ini kecuali menjaga keluarga dengan mengamalkan SOP.

“KKM perlu lebih gigih mencari penyelesaian kaedah merawat pesakit yang lebih baik bagi mengurangkan kadar kematian,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.