Wednesday, November 24, 2021

Sektor perladangan sawit bakal terima 32,000 pekerja asing dengan SOP ketat

Pekerja dari Indonesia akan dibawa masuk terlebih dahulu diikuti pekerja asing dari negara-negara lain.

Other News

Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan disediakan kerajaan sebelum Malaysia menerima 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata pekerja asing dari Indonesia akan dibawa masuk terlebih dahulu untuk bekerja di dalam sektor berkenaan, diikuti pekerja asing dari negara-negara sumber lain.

Zuraida dalam satu kenyataan hari ini berkata SOP kemasukan pekerja asing yang bakal dikuatkuasakan itu akan menumpukan kepada pengambilan pekerja asing di sektor perladangan sawit terlebih dahulu.

“Perincian berhubung mekanisme untuk membawa masuk pekerja asing dari negara sumber akan dikeluarkan oleh kerajaan melalui kementerian sumber manusia (KSM) dalam masa terdekat dan sebarang perubahan SOP tertakluk kepada perbincangan pihak KSM, kementerian dalam negeri (KDN) dan kementerian kesihatan (KKM).

“Segala kos bagi membawa masuk pekerja asing ke negara ini adalah di bawah tanggungjawab majikan bagi setiap kelulusan yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan itu.

Pihak majikan pula akan memastikan semua pekerja mereka telah divaksinasi sepenuhnya dengan kos yang ditanggung sepenuhnya oleh mereka sendiri, katanya.

Menurut Zuraida, kerajaan Indonesia juga menyambut baik prosedur yang ditetapkan untuk rakyatnya bekerja di Malaysia.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lepas berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 telah meluluskan SOP kemasukan pekerja asing.

Ismail yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata SOP berkenaan akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan berdasarkan kes oleh Jawatankuasa Pekerja Asing dipengerusikan bersama oleh menteri dalam negeri dan menteri sumber manusia.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles