- Iklan -
Berita

Anak Najib tarik balik permohonan gantung keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes cukai tertunggak

Penarikan balik permohonan tersebut dilakukan selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Mohd Nazifuddin untuk menggantung sementara pelaksanaan penghakiman terus yang diperoleh LHDN.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Mohd Nazifuddin Najib. Gambar: Bernama
Mohd Nazifuddin Najib. Gambar: Bernama

Mohd Nazifuddin hari ini menarik balik permohonan untuk menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili anak bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata penarikan balik permohonan tersebut berikutan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan permohonan Mohd Nazifuddin untuk menggantung sementara pelaksanaan penghakiman terus diperoleh LHDN berhubung pembayaran cukai berkenaan.

“Pada prosiding pengurusan kes hari ini secara dalam talian (e-Review) di hadapan timbalan pendaftar Rini Triany Muhamad Ali, mahkamah membenarkan permohonan kami untuk menarik balik permohonan yang difailkan pada 22 April lepas dengan kebebasan (untuk memfailkan semula permohonan) dan tanpa kos,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Prosiding itu turut disertai peguam hasil Athari Faris Ammerry Hussein bagi pihak LHDN.

Pada 6 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Mohd Nazifuddin bagi menuntut tunggakan cukai berjumlah RM37.6 juta bagi tempoh antara 2011 dan 2017.

Semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Mohd Nazifuddin dan bapanya, Najib untuk menangguhkan sementara pelaksanaan penghakiman terus yang diperoleh LHDN sehingga permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Kedua-dua mereka menfailkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 9 Sept lepas yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.