Friday, October 15, 2021

Saya tidak pernah gelar diri sebagai wanita pertama Malaysia, kata Rosmah

Menurut Rosmah, gelaran wanita pertama kepadanya adalah untuk 'tujuan pentadbiran'.

Other News

Rosmah Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak pernah menggelarkan dirinya sebagai wanita pertama Malaysia (FLOM) dan menafikan bahawa satu bahagian telah diwujudkan khusus untuk beliau dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Rosmah, 69, berkata demikian ketika disoal balas oleh timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram pada hari ketiga pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadapnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu berkata gelaran itu adalah untuk “tujuan pentadbiran.”

Sri Ram: Adakah anda bersetuju bahawa Wanita Pertama Malaysia adalah gelaran yang anda gunakan untuk diri sendiri?

Rosmah: Tidak.

Sri Ram: Siapa berikan gelaran itu kepada anda?

Rosmah: Tiada siapa yang berikan gelaran itu kepada saya. Ia hanya untuk tujuan pentadbiran.

“Isteri-Isteri perdana menteri (sebelum ini) tidka begitu aktif dalam aktiviti kebajikan atau projek yang menonjol seperti Permata Negara. Mereka mungkin jarang diundang untuk menyampaikan ucaptama di luar negara. Jadi, ketika suami saya menjadi Perdana Menteri, kehidupan saya menjadi teramat-amat sibuk,” kata Rosmah.

Sri Ram kemudian menyoal sama ada terdapat bahagian dalam PMO yang dikenali sebagai “Wanita Pertama Malaysia” dan Rosmah menjawab “Saya tidak tahu.”

“Itu bukan tugas saya. Saya tidak campur tangan dengan PMO,” katanya.

Rosmah juga berkata beliau tidak tahu sama ada Siti Hasmah Mohamad Ali, bekas Perdana Menteri keempat iaitu Mahathir Mohamad pernah digelar sebagai Wanita Pertama Malaysia.

“Saya tidak tahu. Mungkin di luar (negara) beliau digelar begitu (Wanita Pertama Malaysia),” katanya.

Rosmah juga berkata beliau sedia mengorbankan dirinya dan berdepan serangan di media sosial bagi pihak suaminya ketika Najib menjadi perdana menteri kerana Najib berkata serangan itu sebenarnya ditujukan kepadanya namun beliau menjadi sasaran mudah di media sosial.

Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu khasnya, Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek hibrid solar itu secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 21 Oktober depan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles