Monday, October 18, 2021

Apakah telefon pintar bakal jadi keperluan pelajar?

Peranti digital menjadi sinonim dengan pembelajaran sekolah sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Other News

Bekas pensel? Ada. Botol air? Ada. Telefon?

Lebih setahun selepas pandemik Covid-19 melanda Malaysia, murid-murid kini memulakan semula sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat walaupun sebahagian besar mereka masih perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), ekoran itu, ia telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat apakah telefon pintar kini harus menjadi keperluan asas pembelajaran sekolah.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Azlin Norhaini Mansor berkata, kumpulan remaja dan kanak-kanak seharusnya merupakan kumpulan terakhir yang layak memegang telefon bimbit kerana dikhuatiri akan berlaku penyalahgunaan, penggunaan secara berlebihan dan ketagihan.

Akan tetapi ini berubah dengan kedatangan pandemik apabila telefon menjadi keperluan asas bagi PdPR, selain peranti komputer atau tablet.

“Persoalannya, wajarkah semua remaja dan kanak-kanak yang bersekolah diberikan tanggungjawab memiliki sebuah telefon atas alasan pendidikan apabila semua orang maklum kebarangkalian penyalahgunaan yang amat tinggi,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Saya berpandangan dalam keadaan sekarang dan selagi PDPR atau ‘remote teaching’ terpaksa diteruskan, maka telefon menjadi keperluan asas kepada semua murid sekolah.”

Kerajaan menetapkan keperluan untuk hadir ke sekolah mengikut negeri, kelas peperiksaan dan institusi pendidikan.

Kebergantungan kepada PdPR membuka dimensi baru pendidikan negara apabila isu kemiskinan digital menjadi fokus utama yang perlu diselesaikan dan komunikasi antara guru dan murid juga berevolusi seiring dengan pelaksanaannya.

Sesi pembelajaran diadakan di platform seperti Google Class, Google Meet atau Zoom dan terdapat juga guru yang menggunakan aplikasi seperti WhatsApp untuk berkomunikasi dengan murid-murid, berkongsi bahan pembelajaran atau memberikan kerja rumah.

Ini bermakna murid-murid terpaksa berkongsi telefon ibu bapa masing-masing dan terpaksa “bersaing” dengan adik-beradik lain yang juga terpaksa menjalani sekolah secara dalam talian.

Kajian Kementerian Pendidikan bertajuk “Kajian Kesediaan Murid Berkaitan Pembelajaran Secara Dalam Talian” tahun lalu menunjukkan 36.9% murid negara ini tidak mempunyai peranti langsung manakala 90% murid tidak mempunyai peranti milik peribadi.

Azlin berkata, beberapa persoalan timbul mengenai pihak yang perlu tanggungjawab mendidik dan memastikan murid-murid menggunakan kebebasan memiliki telefon dengan penuh etika dan mematuhi keperluan.

“Bagaimanakah hendak mendidik dan menanamkan tanggungjawab penggunaan telefon kepada murid-murid ini?

“Adakah terdapat modul latihan yang sesuai dan tepat untuk melatih sikap kebertanggungjawaban tersebut?,” soalnya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris Amin Md Taff berkata, penggunaan telefon dan menyediakan talian telefon kepada pelajar amat wajar seiring dengan kemajuan teknologi menuju revolusi industri 4.0.

“Telefon sudah menjadi alat paling hampir dengan pelajar. Apabila telefon dibenarkan, pelajar akan dapat mengakses bahan-bahan yang ada.

“Kedua, mereka sudah cekap dengan kemahiran berkaitan telefon bimbit. Ini memudahkan proses PdP,” katanya kepada MalaysiaNow.

Amin berkata, realitinya ialah generasi kini merupakan “digital native” yang mana ramai sudah terdedah dengan gajet seawal dua atau tiga tahun.

Katanya, meskipun ada perkara negatif berbangkit mengenai penggunaan telefon, manfaat yang diperolehi pelajar boleh mengatasi perkara negatif tersebut.

“Guru tidak perlu lagi masuk dan bersyarah semata. Apa yang penting guru menjadi kurator ilmu. Pelajar boleh mencari bahan-bahan daripada apa yang diajar guru untuk tujuan perbincangan.

“Ini disifatkan belajar melalui perbuatan (learning by doing),” katanya.

Dalam pada itu katanya, guru boleh juga membantu menerapkan etika dan tatasusila pengguna telefon kepada pelajar.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles