Monday, October 18, 2021

5.8 juta belia 18 tahun ke atas kini disenarai sebagai pengundi baru

Mereka diberikan tempoh hingga hujung bulan ini untuk menyemak butiran diri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Other News

Sejumlah 5.8 juta bakal pengundi berusia 18 tahun dan ke atas diberikan tempoh hingga hujung bulan ini untuk menyemak butiran diri yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui semakan pra-pendaftaran pemilih automatik (SPPA).

Langkah tersebut bermaksud mereka yang berusia 18 tahun ke atas akan dapat mengundi untuk kali pertama dalam sebarang pilihan raya yang akan diadakan termasuk pilihan raya negeri di Melaka yang mesti dilaksanakan pada awal Disember.

Ia diumumkan selepas lebih sebulan Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan SPR dan kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember tahun ini susulan permohonan lima orang belia supaya mahkamah mengarahkan penguatkuasaan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan umur minimum untuk mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun.

Putrajaya juga memutuskan untuk tidak merayu keputusan mahkamah tersebut.

Umur mengundi rakyat Malaysia telah diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan sebulat suara dalam sebuah detik bersejarah di Dewan Rakyat di mana semua ahli Parlimen bersetuju meluluskannya pada 16 Julai 2019.

Sebelum ini, SPR berkata pelaksanaan Undi 18 tidak dapat dilaksanakan ekoran beberapa isu dan kekangan.

Dua kaedah diumumkan SPR untuk menyemak butiran tersebut.

Menurut laman sesawangnya, semakan boleh dilakukan menggunakan:

1. Membuat semakan menggunakan aplikasi MySPR SPPA di pautan https://mysprsppa.spr.gov.my; atau

2. Hadir ke 604 tempat semakan SPPA di seluruh negara dan mengimbas kod QR bahagian pilihan raya Parlimen yang diletakkan.

SPR berkata mereka yang tidak lagi tinggal di alamat yang dinyatakan dalam sistem perlu mengemaskini butiran MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara sebelum 31 Oktober.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai SPPA ini, orang ramai boleh hubungi mana-mana pejabat pilihan raya negeri atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles