- Iklan -
Berita

Sela masa dos kedua AstraZeneca dipendek dari 9 ke 6 minggu

Pelaksanaan memendekkan tempoh itu akan bermula 1 Oktober.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Tempoh penerima dos pertama vaksin Covid-19 AstraZeneca menerima suntikan dos kedua kini dipendekkan kepada enam minggu berbanding sembilan minggu sebelum ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika mengumumkan perkara itu berkata pelaksanaan memendekkan tempoh itu akan bermula 1 Oktober.

“Ia adalah untuk memberi kemudahan kepada mereka yang sudah mendapat dos pertama AstraZeneca, mereka boleh terima dos kedua selepas enam minggu,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Pada Jun, kementerian kesihatan (KKM) memendekkan tempoh pemberian dos pertama dan kedua vaksin AstraZeneca dari 12 minggu kepada sembilan minggu.

Sebelum ini, penerima vaksin itu terpaksa menunggu lebih lama bagi pemberian dos kedua selepas menerima dos pertama berbanding vaksin jenis lain.

Mengenai kes “Long Covid” (simptom selepas sembuh Covid) yang terpaksa masuk semula ke unit rawatan rapi (ICU), Khairy berkata memang terdapat kes pesakit yang hadir semula ke hospital setelah dibenarkan keluar hospital.

Bagaimanapun, katanya tiada peningkatan ketara bagi kemasukan semula ke ICU dalam kalangan pesakit “Long Covid” dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Dia berkata tiada klasifikasi khusus kematian akibat gejala “Long Covid” kerana kematian direkodkan berdasarkan kepada punca kematian.

“Beberapa kajian sedang dijalankan bagi mengetahui dengan lebih lanjut isu ini dan keputusan kajian akan diumumkan apabila kajian selesai,” katanya.