- Iklan -
Berita

JPA kemuka cadangan tindakan terhadap penjawat awam enggan divaksinasi

JPA mahu semua penjawat awam diwajibkan mengambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk pengecualian atas faktor kesihatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menyuntik vaksin Covid-19 di PPV Selangor. Negara kini semakin menghampiri imuniti kelompok selepas program vaksinasi menghampiri 80% populasi menerima vaksin lengkap.
Petugas kesihatan menyuntik vaksin Covid-19 di PPV Selangor. Negara kini semakin menghampiri imuniti kelompok selepas program vaksinasi menghampiri 80% populasi menerima vaksin lengkap.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengemukakan cadangan berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

JPA dalam sebuah kenyataan memaklumkan beberapa pilihan tindakan dan pendekatan telah dibawa kepada MKN untuk diputuskan termasuk cadangan arahan mewajibkan semua penjawat awam mengambil vaksin kecuali mereka yang mempunyai alasan kukuh untuk pengecualian atas faktor kesihatan.

Kenyataan itu menyebut sehingga kini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin Covid-19 telah mencapai hampir 98% berbanding kelompok kecil yang belum berbuat demikian.

“Perkara ini perlu diberikan keutamaan bagi memberi keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPA, usaha vaksinasi perlu diberi keutamaan untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara.

Pada 4 September lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepas) Adnan Mat mencadangkan kerajaan mengeluarkan pekeliling khusus mengenai penjawat awam yang masih tidak mengambil vaksin Covid-19 dengan menjelaskan tindakan dan pendekatan yang perlu dilakukan kepada golongan itu dalam isu pengambilan vaksin.

Menurut JPA, ia berpandangan beberapa langkah boleh diambil oleh kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya mengambil vaksin.

Katanya secara dasar, penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan mereka perlu mematuhi peraturan sedia ada termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila diarahkan oleh ketua jabatan.

“Kita hendaklah melindungi diri kita sebelum kita mahu melindungi orang lain. #lindungdiri, lindungsemua!” kata JPA.