Saturday, October 23, 2021

Putrajaya pertimbang benarkan pelancongan antara negeri

Keputusan mengenai perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi bagi mempercepatkan pemulihan industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Other News

Keputusan untuk membenarkan gelembung perjalanan pelancongan antara negeri sedang dibincang dan akan diumumkan tidak lama lagi, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi mempercepatkan pemulihan industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Setakat ini selain Langkawi, kita hanya benarkan pelancongan dalam negeri sahaja dan kita faham, kita tidak boleh bergantung kepada pelancongan dalam negeri sahaja untuk membantu pemulihan industri pelancongan negara, oleh itu kita sedang meneliti kebenaran pelancongan antara negeri bagi merancakkan semula aktiviti pelancongan negara,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar), yang meminta supaya gelembung pelancongan domestik diperluaskan ke seluruh negara dan tidak hanya fokus pada kawasan pulau, bagi membantu pemulihan pemain industri pelancongan negara yang terkesan teruk akibat Covid-19.

Nancy berkata terdapat beberapa destinasi yang disenaraikan untuk kebenaran pelancongan antara negeri ini termasuk Fraser Hill, Genting Highlands dan destinasi tumpuan yang lain di seluruh negara.

Mengenai rancangan untuk membuka Pulau Langkawi kepada pelancong luar negara pula, Nancy berkata perkara itu juga sedang dalam perbincangan kementerian itu dengan kementerian dan agensi terlibat lain.

“Kita sedang susun atur kriteria yang dibenarkan untuk pelancong antarabangsa ini untuk datang selain daripada lengkap vaksin, jika ia sudah diputuskan, kita akan mula buka Pulau Langkawi untuk pelancong antarabangsa,” katanya.

Setakat ini kerajaan membenarkan pelancongan dalam negeri bagi negeri yang berada di Fasa Dua dan seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk individu yang telah lengkap vaksin.

Projek rintis gelembung pelancongan domestik ke Pulau Langkawi pula bermula sejak 16 September lepas.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles