- Iklan -
Berita

Najib masih mahu bertanding PRU walaupun sudah disabitkan bersalah

Beliau masih ahli Parlimen, namun Perlembagaan menghalangnya bertanding lagi kecuali dapat pengampunan Agong.

Reuters
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak yang terpalit skandal 1MDB ketika temu bual bersama Reuters. Gambar: Reuters
Bekas perdana menteri Najib Razak yang terpalit skandal 1MDB ketika temu bual bersama Reuters. Gambar: Reuters

Bekas perdana menteri Najib Razak tidak menolak untuk kembali bertanding pilihan raya untuk kerusi Parlimen dalam tempoh dua tahun akan datang dalam sebuah temu bual bersama Reuters walaupun sabitan kesalahan rasuah bakal menghalang beliau daripada mencalonkan diri.

Parti Umno yang terpalit skandal rasuah kembali mendapatkan kerusi perdana menteri bulan lepas selepas tiga tahun lalu digulingkan dalam pilihan raya akibat skandal melibatkan berbilion dolar.

Penentangnya turut menyuarakan kebimbangan sekiranya beberapa pemimpin daripada parti itu yang kini berdepan pelbagai pertuduhan jenayah bakal menerima layanan lembut undang-undang selepas kembali memegang tampuk pentadbiran.

Najib yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama sembilan tahun hingga 2018 disabitkan kesalahan rasuah tahun lalu dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun susulan salah laku melibatkan dana 1MDB.

Beliau bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan kini sedang merayu keputusan mahkamah tersebut selain turut menggesa siasatan dilaksanakan, menyifatkan pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik.

Ketika ini, Najib masih menyandang jawatan ahli Parlimen namun Perlembagaan melarangnya bertanding dalam pilihan raya kecuali mendapat pengampunan atau penangguhan hukuman dari Yang di-Pertuan Agong.

Bercakap kepada Reuters pada Sabtu, Najib turut berkata beliau menolak kehilangan kelayakannya untuk bertanding, mengatakan: “Ia tertakluk kepada tafsiran.”

“Ia bergantung pada tafsiran undang-undang, Perlembagaan dan apa sahaja yang berlaku dalam prosiding mahkamah,” kata Najib.

Ketika ditanya apakah beliau akan bertanding pada pilihan raya berikutnya yang dijangka dilaksanakan pada 2023, Najib berkata: “Mana-mana ahli politik yang ingin mainkan peranan akan mahu menduduki kerusi di Parlimen.”

Najib bagaimanapun menolak untuk menjelaskan apakah cara untuk beliau atasi halangan Perlembagaan ke atasnya.

Kepercayaan orang ramai

Umno, yang memegang tampuk kuasa lebih 60 tahun digulingkan selepas majoriti rakyat Malaysia tidak berpuas hati dan marah ekoran pendedahan skandal 1MDB dan kemewahan yang ditunjukkan keluarga Najib.

Isu-isu tersebut menjadi punca parti Melayu itu turut menjadi punca ia dikalahkan dalam pilihan raya.

Parti itu kini sedang berusaha untuk mendapatkan kembali kepercayaan masyarakat di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang kini turut berdepan pertembungan dalaman antara pemimpin parti itu.

Najib kini dilihat menjalankan kempen di media sosial untuk menggambarkan dirinya yang berasal daripada golongan elit politik kepada seorang pemimpin berjiwa rakyat.

Ekoran kempen tersebut, Najib memperolehi populariti di media maya dan sosial, di mana kritikannya terhadap pentadbiran sebelum ini mendapat pujian ramai.

Dalam temu bual tersebut, Najib berkata beliau berbincang dengan Ismail mengenai peranan yang boleh dimaikan beliau dalam pentadbiran kerajaan.

Media juga turut melaporkan ura-ura mengatakan beliau akan dilantik sebagai penasihat ekonomi pentadbiran Ismail.

Namun, bekas perdana menteri itu tidak mendedahkan sama ada beliau akan menerima jawatan tersebut, mengatakan keutamaannya ketika ini adalah untuk membersihkan namanya.

Najib juga berkata kembalinya Umno memegang tampuk pentadbiran dapat menjamin “kestabilan politik dalam jangka waku sementara” dan beliau juga tidak bersetuju untuk pilihan raya umum diadakan segera.

Ogos lalu, pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin tumbang ketika Najib dan beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan mereka.

Malaysia menyaksikan ketidakstabilan politik paling runcing sejak Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2008 dengan dua gabungan politik hilang kuasa disebabkan pertembungan dalaman.

Halangan Perlembagaan

Pencalonan Najib dalam pilihan raya akan datang bakal berdepan ketetapan Perlembagaan yang memutuskan mereka yang dijatuhkam hukuman penjara lebih setahun atau didenda lebih RM2,000 akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

Peguam Perlembagaan New Sin Yew berkata Najib hanya boleh mencalonkan diri sekiranya beliau berjaya dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, atau mendapat pengampunan mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong bagi melayakkannya bertanding walaupun disabitkan bersalah.

Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat berkata lebih daripada AS $4.5 bilion yang dicuri dari 1MDB, sebahagiannya dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Jabatan Kehakiman AS bahkan menggambarkan skandal itu sebagai “kleptokrasi paling dahsyat pernah berlaku”.

Najib yang berdepan lebih 40 pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan kesalahan lain yang kebanyakannya berkaitan dengan 1MDB, mengatakan beliau boleh membuktikan dirinya tidak bersalah walaupun pelbagai entiti dan individu yang berkait dengan skandal itu di seluruh dunia mengaku bersalah atau membayar denda selain beberapa penyelesaian dengan mahkamah dan kerajaan berhubung skandal tersebut.

Pendakwa raya Malaysia berkata Najib yang mengasaskan 1MDB pada tahun 2009, memainkan peranan penting dalam skandal tersebut.

Sejak beliau kalah pilihan raya, AS mengembalikan kepada Malaysia lebih dari AS$1 bilion dana yang diperoleh daripada sitaan aset-aset yang pernah dibeli dengan wang 1MDB.

Najib berkata tuduhan terhadapnya bermotifkan politik dan turut menggesa sebuah siasatan suruhanjaya diraja (RCI) dilaksanakan terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas ketika pentadbiran selepas Umno, yang pertama kali mendakwanya pada 2018.

“Saya tegas mahu RCI dijalankan bagi sebuah perbicaraan yang adil untuk semua orang, bukan hanya untuk saya,” katanya.

Thomas bagaimanapun tidak menjawab ketika dihubungi Reuters bagi mengulas perkara itu melalui e-mel.

Najib berkata beliau membincangkan cadangan itu dengan Ismail, yang setakat ini tidak bersetuju dan sudah membincangkannya dengan Muhyiddin yang turut menolaknya.

Jurucakap Ismail dan Muhyiddin belum memberikan respons mengenai perkara tersebut ketika dihubungi.